PERSIS perlawanan Liverpool dan AC Milan dalam aksi final UEFA Champions League 2005 (UCL), pasukan FC Setia Alam Bawah 12 Tahun (B-12) berjaya menunjukkan semangat berlawan selepas bangkit ketinggalan 0-3 di Stadium UMS, Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu.
Pasukan yang dikendalikan oleh jurulatih akar umbi, Shazwan Wong berkongsi detik-detik kebangkitan pemain-pemain cilik itu ketika perlawanan berbaki 12 minit lagi.
Berkongsi perasaannya dalam Twitter (kini dikenali sebagai X), Shazwan tidak dapat menahan kegembiraan yang berjaya dilakar oleh pasukannya dalam aksi separuh akhir Piala Borneo 2023 itu.
"Benda macam Ini tak selalu jadi tapi bila jadi, kemanisan dia tak boleh nak 'explain'.
"Ketinggalan 0-3, dan berbaki 12 minit untuk tamat perlawanan.
"Berbaki 10 minit kami berjaya menjaringkan satu gol," katanya.
"Saya beritahu kepada pemain, lupakan tentang keputusan, baki 10 minit, apa yang anda boleh buat beri segalanya apa yang awak ada," katanya.
Motivasi yang dilontarkan oleh Shazwan kepada pemain-pemainnya itu berjaya menghasilkan tiga lagi gol sebelum wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.
Tambahnya lagi, selepas hampir 20 tahun bergelar jurulatih detik kebangkitan FC Setia Alam dalam kejohanan kali ini antara yang paling terkesan dalam dirinya.
Kegembiraan kebangkitan FC Setia Alam itu menyebabkan ibu bapa yang hadir ke stadium turut bersorak bersama-sama Shazwan di tepi padang yang tidak boleh mengawal perasaannya.
Dalam ruangan komen, orang ramai memberikan kata-kata pujian kepada pemain-pemain FC Setia Alam serta jurulatihnya.
"Puas hati dapat 'comeback', histeria terus mak dan ayah," kata Tony Wan Iilham.
"Masih kecil lagi dah dapat rasa kepuasan yang teramat, tengok pun rasa meremang," ujar EhEzal.
"Budak bawah 12 tahun pun ambil 'freekick power', anda melatih mereka dengan baik coach," jelas Zaizul Zaidi.
Namun begitu, FC Setia gagal merangkul kejuaraan Piala Borneo 2023 selepas tewas di tangan Makati FC di Stadium Likas pada Khamis sekali gus dinobatkan sebagai naib juara dua kali berturut-turut selepas mendapat pencapaian sama tahun lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram