Bukan Messi atau Suarez tapi Evra label 'ex-winger' Liverpool lawan paling sukar


  • Podium
  • Isnin, 11 Sep 2023

Evra pernah beraksi berdepan penyerang-penyerang bintang sepanjang kariernya yang gilang-gemilang. — Agensi

BEKAS pemain pertahanan kiri Manchester United, Patrice Evra boleh dianggap sebagai antara bek sayap terbaik pernah disaksikan ketika zaman kemuncaknya.

Kecemerlangannya turut dapat disaksikan ketika bersama-sama skuad antarabangsa Perancis apabila dia pernah membantu mereka muncul sebagai naib juara Piala Dunia 2006.

Bersama The Red Devils pula, kehadiran pemain yang kini berusia 42 tahun berkenaan berjaya menjulang beberapa trofi gemilang sepanjang lapan tahun bersama kelab itu.

Lima gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kejayaan dalam Liga Juara-juara UEFA (UCL) 2008 pastinya menjadi antara momen berharga buatnya.

Tetapi, seperti kesemua pemain pertahanan dalam dunia bola sepak, mereka pastinya pernah berdepan seorang lawan yang dianggap paling sukar dalam kariernya.

WhatsApp Image 2023-09-11 at 13.40.06

Evra (kanan) ketika beraksi menentang James Milner yang bersama Manchester City. — Agensi

Perkara berkenaan turut dialami Evra apabila dia mendedahkan bekas pemain sayap Liverpool dan Manchester City, James Milner sebagai antara pemain yang sukar dibendung.

Perkongsian itu pastinya cukup mengejutkan memandangkan bek kiri terbabit pernah berdepan beberapa penyerang terbaik dunia, seperti Lionel Messi dan Luis Suarez.

"Selalunya, orang ramai pasti berfikir jawapan saya ialah Cristiano Ronaldo atau Messi. Tetapi, jawapan saya ialah James Milner.

"Ini disebabkan saya merupakan seorang bek sayap yang menyerang dan dia diberi peranan untuk menyekat gerakan saya. Saya sering kecewa setiap kali bertemunya dengan dia kerap memberi cabaran buat saya," katanya.

Sepanjang karier Evra, dia pernah mewakili beberapa pasukan ternama sekitar Eropah, termasuk West Ham dan Olympique Marseille, namun tempohnya bersama Manchester United adalah yang paling sukar dilupakan.

Bagi Milner pula, dia yang kini masih aktif dalam EPL bersama Brighton & Hove Albion memiliki misi tersendiri dengan dia berpeluang muncul sebagai pemain dengan penampilan terbanyak dalam kejohanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram