SKUAD sepak takraw negara gagal menamatkan penguasaan Thailand selama 25 tahun dalam acara regu berpasukan lelaki selepas tewas dalam perlawanan akhir pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Jinhua, China pada Jumaat.
Kecemerlangan Thailand selaku gergasi dunia pada aksi di Pusat Sukan Gimnasium Jinhua kira-kira 170 kilometer dari Hangzhou itu menyaksikan mereka merakam kemenangan 2-0 sekali gus meraih pingat emas buat kali ketujuh berturut-turut sejak edisi 1998 di Bangkok.
Malaysia pula terpaksa berpuas hati dengan perak untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Thailand yang mempertaruhkan kebanyakan pemain berpengalaman meraih mata pertama menerusi trio Pichet Pansan, Wichan Temkort dan Sittipong Khamchan selepas mudah mengatasi regu negara Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Farhan Adam dan Muhammad Haziq Hairul Nizam 21-15, 21-14.
Regu kedua negara dibarisi Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi yang diharap menghadiahkan mata untuk mengheret perlawanan ke aksi penentuan, bagaimanapun turut menemui jalan buntu untuk menundukkan lawan.
Regu pasukan lelaki Sepak Takraw Malaysia tewas ditangan Thailand 21-15, 21-14#RTMKlik#DemiMalaysia#SukanAsia2023RTM#SukanAsiaHangzhou pic.twitter.com/mkp5SCy6DO
— RTM Malaysia (@RTM_Malaysia) September 29, 2023
Mereka yang dilihat berusaha untuk menyaingi kehebatan trio Varayut Jantarasena, Pattarapong Yupadee dan Siriwat Sakha terpaksa akur dengan kehebatan lawan selepas tewas 13-21, 18-21.
Pingat gangsa acara itu dimenangi bersama Korea Selatan dan Laos selepas masing-masing terkandas di pusingan separuh akhir.
Untuk rekod, Malaysia pernah memenangi emas regu berpasukan lelaki ketika ia dipertandingkan buat kali pertama pada edisi 1990 di Beijing, China.
Sementara itu, peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu emas masih terbuka dalam acara regu lelaki yang akan membuka tirai saingan pada Khamis depan.
Malaysia merupakan pemenang emas regu lelaki pada edisi 2018 yang menyaksikan Thailand tidak menghantar penyertaan dalam acara itu.
Dalam pada itu, Thailand turut meraih emas regu berpasukan wanita selepas menundukkan Korea Selatan 2-0 dalam satu lagi aksi final sementara Laos dan Indonesia pula pemenang gangsa bersama. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram