JAGUH keirin negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang memberikan respons emoji terkejut di Facebook sebagai reaksi kepada pungutan pingat gangsa yang menjadi milik Muhammad Shah Firdaus Sahrom bagi acara keirin lelaki di Sukan Asia Hangzhou, China.
Respons itu mungkin selepas cara kemenangan itu hampir sama seperti yang diraih Azizulhasni ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Muhammad Shah Firdaus yang hadir sebagai pelumba utama negara susulan Azizulhasni tidak dapat menyertai Sukan Asia ekoran mengalami kecederaan, hadir ke perlumbaan final acara keirin susulan berjaya memenangi saingan separuh akhir.
Seperti perlumbaan final Sukan Olimpik Tokyo, pelumba China, Yu Zhou, menggunakan taktikal yang sama seperti pelumba Great Britain, Jason Kenny, melakukan pecutan di awal perlumbaan sekali gus memastikan pingat emas buat tuan rumah.
Shah Firdaus bagaimanapun menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang wakil Korea Selatan, Kang Seojun.
Rakan senegara Shah Firdaus, Muhammad Fadhil Mohd Zonis, menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.
Skuad berbasikal trek negara menutup saingan temasya Sukan Asia Hangzhou dengan kejayaan merangkul tiga pingat gangsa.
Pada perlumbaan yang Berlangsung di Velodrom Chun'an Jieshou, percaturan Shah Firdaus tampak tidak menjadi apabila ketinggalan di belakang jaguh dari China, Zhou Yu yang meraih pingat emas dan pelumba Korea, Kang Seojun, perak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram