ATLET gimnastik artistik negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam boleh mendabik dada apabila akhirnya menamatkan kemarau selama 17 tahun negara tanpa sebarang pingat dalam sukan tersebut di Sukan Asia dengan meraih gangsa pada edisi 2022 di Hangzhou, China pada Jumaat.
Pada aksi final acara melombol lelaki yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Huanglong, Sharul Aimy menamatkan cabaran dengan mengumpul 14.466 mata untuk berada di belakang pemenang emas, Wataru Tanigawa dari Jepun yang mencatatkan 15.016 mata dan Mahdi Olfati dari Iran, di kedudukan kedua (14.783 mata).
Ng Shu Wai merupakan gimnas terakhir negara memenangi pingat dengan membawa pulang perak acara sama pada edisi 2006 di Doha, Qatar.
Sharul Aimy ketika ditemui media selepas aksi final berkenaan teruja apabila penyertaan pertama dalam pentas berprestij itu membutirkan kejayaan membanggakan buat Malaysia.
"Ini memang saya tunggu-tunggu (kemenangan) dari dulu sampai sekarang, sebab dulu saya selalu tengok video Shu Wai dan dia juga ada ajar saya mengenai teknik. Masa landing (mendarat) pertama kali itu sudah lega sebab bila masuk landing kedua saya boleh relaks sedikit.
"Namun, masa masuk landing kedua itu saya memang boleh rasa akan dapat sesuatu. Strategi yang digunakan macam biasa dan Alhamdulillah rancangan itu menjadi,” katanya kepada pemberita di Hangzhou pada Jumaat.
Dalam pada itu, jurulatihnya, Ng Shu Liang memaklumkan pengorbanan mereka tidak menyertai Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2023 di Belgium dan sebaliknya memilih bersaing dalam temasya empat tahun sekali itu ternyata berbaloi.
Shu Liang menyifatkan kemenangan itu sebagaia ‘hadiah terindah’ buat atlet berusia 20 tahun itu apabila dia sentiasa konsisten memasuki pentas final ketika menyertai kejohanan di dalam dan luar negara.
"Ini adalah keputusan yang bagus selepas adik lelaki saya, Shu Wai. Dia (Sharul Aimy) selalu masuk final dan kali ini saya cakap kita kena bawa balik sesuatu untuk Malaysia dan akhirnya kita berjaya dapat gangsa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, memetik laporan Stadium Astro pula, Shu Liang mengakui bahawa tidak dapat menahan sebak apabila melihat anak didiknya diumumkan berjaya merangkul pingat di kejohanan tersebut
“Saya seronok sebab Sharul berjaya melakukan apa yang saya fikirkan itu. Saya sudah menangis tapi banyak kawan tadi jadi tak boleh nangis. Kena tenang dulu,” tambahnya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram