SEJAK ditubuhkan kira-kira 99 tahun lalu, Kedah Darul Aman (KDA) FC boleh dianggap sebagai salah sebuah pasukan terbaik dalam Liga Super.
Ia dibuktikan dengan pelbagai kejuaraan yang pernah diraih pasukan Utara tanah air berkenaan, lebih-lebih lagi ketika mereka menjulang kejuaraan 'double treble' pada 2007 dan 2008.
Meskipun pernah mengalami pasang surut beberapa tahun kebelakangan ini, mereka masih boleh dianggap sebagai pencabar berdasarkan kualiti pemain yang dimiliki.
Tidak cukup dengan itu, identiti mereka yang sering mengenakan jersi berwarna hijau kuning juga cukup sinonim dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Walaupun sebahagian pihak tidak melihatnya sebagai satu elemen yang penting, peminat setia pasukan sudah pasti memberikan perhatian penting akan hal sedemikian.
Nama gelaran baharu itu turut diumumkan berserta logo baharu kelab. — Facebook/Kedah FA
Malah, perkara berkenaan turut dititikberatkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Muhammad Sansui Md Nor pada 30 Oktober 2020.
Ketika itu, kelab Utara tanah air berkenaan digelar skuad Helang Merah berdasarkan logo pasukan yang diguna pakai sejak 2014 ketika di bawah pemerintahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Jadi, dalam usaha Sanusi mahu mengembalikan zaman kegemilangan Kedah FA, dia mengambil inisiatif untuk mengubah nama gelaran pasukan kepada skuad Hijau Kuning.
Perubahan berkenaan turut menyaksikan logo pasukan berubah dengan memaparkan beberapa elemen baharu, seperti padi yang amat sinonim dengan negeri berkenaan.
Langkah pembaharuan itu diterima baik oleh penyokong KDA FC yang cukup berminat terhadap langkah Sanusi dalam membawa semula identiti kelab.
Meskipun mereka masih belum meraih sebarang kejayaan di samping wajah baharu itu, ia sedikit sebanyak menyuntik perasaan berkobar-kobar memandangkan logo pasukan dikatakan mirip semasa pasukan berkenaan meraih gelaran 'double treble'.
Kini, selepas tiga tahun, Sanusi masih lagi bergelar Presiden KFA, namun tidak mempunyai kuasa penuh setelah usahawan tanah air, Tan Sri Mohd Daud Bakar mengumumkan dirinya sebagai pemilik saham majoriti kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram