AGAK tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa setiap acara sukan yang dipertandingkan pasti akan terlibat dengan beberapa insiden kontroversi sehingga ada daripadanya terpaksa melibatkan campur tangan badan pengelola untuk menyelesaikan isu tersebut.
Seperti sukan nombor satu dunia, bola sepak juga tidak terhindar daripada terlibat dengan beberapa adegan kontroversi dan misalnya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menjadi badan tertinggi untuk menyelesaikan isu tersebut.
Musim ini sahaja, daripada rungutan mengenai mutu pengadilan sehingga ke masalah gaji, pelbagai isu kontroversi berlaku dalam saingan Liga M sehingga ada yang terpaksa membuat laporan ke badan induk bola sepak tanah air bagi menemukan solusi terbaik untuk semua pihak.
Tidak dapat dinafikan, bukan semua kelab musim ini popular dengan insiden kontroversi sehingga terpaksa 'naik turun' pejabat FAM bagi menyelesaikan insiden yang dikaitkan dengan pasukan mereka.
Dengan saingan Liga M musim ini semakin menghampiri episod terakhir, Majoriti menyoroti semula insiden kontroversi yang mewarnai kancah liga domestik sehingga menjadi bualan hangat penyokong bola tempatan.
Berikut merupakan tiga kelab terpalit dengan insiden kontroversi sehingga melibatkan FAM yang pasti akan dikenang sekiranya musim 2023 disorot semula;
1. Kelantan FC
Norizam ataupun Zamsaham masih berdiam diri mengenai isu pengurusan Kelantan. — Facebook/TRW
Sebut sahaja Kelantan FC, pasti ramai penyokong terutamanya peminat The Red Warriors (TRW) yang seakan-akan sudah putus asa untuk mendengar mengenai adegan-adegan kontroversi membabitkan kelab Pantai Timur tanah air itu.
TRW bermula dengan langkah kiri pada musim ini apabila terpalit dengan masalah dalaman seperti isu gaji tunggakan selepas ia didedahkan oleh bekas pengendali dari Korea Selatan, Choi Moon-sik susulan pemecatan drastiknya.
Rentetan masalah itu, Kelantan FC menerima surat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan kes yang masih gagal diselesaikan kelab berkenaan sehingga akhirnya mereka menerima sekatan pemain daripada FAM.
Antara pemain import yang tidak berdaftat ialah Alie Sesay, Aliakbar Ahmadi, Dennis Buschening dan Ahmed Magdy pada jendela perpindahan kedua ditutup pada 1 Ogos lalu.
Naib juara Liga Perdana 2022 itu udah melewati tempoh masa pendaftaran pemain import yang ditutup 1 Ogos lalu, dengan FAM cuba sehabis baik membantu terutama dalam proses permohonan dan rayuan kepada FIFA namun badan induk dunia itu tetap menolak rayuan berkenaan.
2. JDT
Penggunaan suar di Stadium Sultan Ibrahim, Johor menghangatkan lagi suasana di stadium berkenaan. — Agensi
Ketika perlawanan Kedah Darul Aman (KDA) FC diratah 0-6 oleh skuad Harimau Selatan pada di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 9 April 2023, JDT sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila membakar suar sebagai simbolik meraihkan kemenangan besar mereka ke atas Sang Kenari.
Susulan tindakan membakar suar pada aksi tersebut dan ketika menentang Sabah FC dan PDRM FC, FAM mengenakan hukuman denda sebanyak RM120,000 ke atas JDT.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, keputusan itu telah diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Baljit Singh Sidhu pada 30 Mei lalu.
Noor Azman berkata, kenyataan itu dapat memberikan penjelasan kepada umum bahawa tindakan dan hukuman telah pun diambil oleh FAM bagi kesalahan membakar dan menyalakan suar yang sememangnya masih dikuatkuasakan dalam Kod Tatatertib FAM.
3. Selangor FC
Tangkap layar memaparkan Yazan menendang Hasrol setelah wisel penamat perlawanan ditiupkan.
Musim ini, Selangor FC juga tidak terkecuali daripada hukuman FAM setelah berlakunya dua insiden mencuri perhatian di dalam dan luar padang.
Momen pertama yang menyaksikan skuad Gergasi Merah dihukum badan induk bola sepak negara itu adalah ketika pemain bintang mereka, Faisal Halim diberikan penggantungan empat bulan dengan sebulan daripadanya berkuat-kuasa serta merta.
Hukuman berkenaan diberikan akibat komen yang dikeluarkannya setelah aksi Liga Super berdepan Sabah FC berkaitan cubaan sesebuah pihak yang cuba menjatuhkan pasukannya itu.
Selangor FC sekali lagi dijangka berdepan tindakan daripada FAM apabila baru-baru ini, pemain pertahanan mereka, Yazan al-Arab menendang petugas perlawanan.
Insiden itu berlaku selepas aksi Piala Malaysia berdepan Terengganu FC dengan pemain kelahiran Jordan berkenaan berang akan keputusan pengadil, Hasrol Amir.
Sehingga kini, FAM masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi dengan orang ramai berasakan dia akan digantung untuk baki perlawanan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram