Mungkin senasib bintang JDT, Kedah, ini 3 hukuman berat menanti Yazan Al-Arab


  • Podium
  • Khamis, 28 Sep 2023

Insiden Yazan menendang Hasrol selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium MBPJ pada Ahad.

PEMAIN import Selangor FC, Yazan Al-Arab menjadi bualan para peminat bola sepak tempatan selepas mengasari pengadil utama, Mohd Hasrol Mohd Amir pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu baru-baru ini.

Tindakan yang dilakukan oleh pemain pertahanan Jordan itu mengundang pelbagai kritikan dan kecaman daripada penyokong sekali gus membayangkan hukuman berat sedang menanti pemain tersebut.

Perbuatan tersebut dilakukan selepas dia sebelum itu terlebih dahulu dilayangkan kad merah dipercayai akibat tindakannya yang menolak pengadil berkenaan.

Difahamkan, punca kepada insiden berkenaan berlaku disebabkan Yazan dilihat melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap mutu pengadilan ketika perlawanan terbabit.

Dengan layangan kad merah serta tindakan mengasari pengadil, Majoriti senaraikan tiga hukuman yang mungkin akan dikenakan terhadap Yazan:

Natxo Insa

Natxo menyentuh dada Noor Azriel Baharudin ketika aksi Liga Super menentang Perak FC pada 21 Mac 2021. Facebook

1. Digantung dua perlawanan dan denda RM10,000

Hukuman ini pernah dikenakan terhadap pemain bintang Johor Darul Takzim (JDT) susulan tindakannya terhadap pengadil, Noor Azriel Baharudin ketika aksi Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh pada 21 Mac 2021.

Natxo didapati bersalah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan selepas menyentuh dada pengadil berkenaan menggunakan kedua-dua tangannya selepas perlawanan.

Namun ketika itu, Natxo tidak boleh beraksi dalam satu perlawanan sahaja, manakala satu lagi aksi bergantung kepada kelakuannya.

Farizal Marlias

Farizal menjalani hukuman penggantungan perlawanan selama 12 bulan selepas mengasari Fu Ming dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFC Zon Asia Tenggara pada 31 Mei 2017. Agensi

2. Digantung 12 bulan, denda RM171,000

Hukuman yang dijatuhkan ini bukanlah daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun badan induk itu boleh melaksanakan denda sedemikian bagi menunjukkan bahawa kekerasan ke atas pengadil di pandang serius oleh FAM.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menjatuhkan hukuman penggantungan perlawanan selama 12 bulan kepada penjaga gol JDT, Farizal Marlias selepas mengasari pengadil perlawanan dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFC Zon Asia Tenggara pada 31 Mei 2017.

Pemain berusia 37 tahun itu yang melanggar Perkara 47.1.2 dengan Perkara 49.1.2 dan Perkara 50.1 kod Kanun Tatatertib AFC turut didenda sebanyak RM170,567 atas tindakan menolak pengadil dari China, Fu Ming dalam perlawanan menentang kelab Filipina, Ceres Negros FC di Bacolod City.

Dalam perlawanan itu, Farizal dilayangkan kad merah dan hukuman penggantungan 12 bulan itu membabitkan perlawanan seluruh Asia iaitu dalam semua perlawanan domestik, Eropah dan antarabangsa, sama ada perlawanan persahabatan, tidak rasmi atau perlawanan rasmi.

Fadzrul Danel

Fadzrul melanggar Artikel 51.1 (a) Kod Tatatertib FAM iaitu salah laku terhadap pegawai pertandingan perlawanan. MFL

3. Digantung empat perlawanan dan didenda RM10,000

Dalam aksi Liga Super yang berlangsung pada 9 April 2021, pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA FC), Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam mencuri tumpuan selepas melakukan kekasaran dengan menolak pengadil perlawanan Noor Azriel Baharudin.

Ekoran daripada tindakan tersebut, dia segera dilayangkan kad merah oleh pengadil dengan keputusan perlawanan menyaksikan skuad Sang Kenari tewas 1-2 di tangan Terengganu FC.

Tindakan pemain muda Kedah itu menyebabkan dia digantung empat perlawanan termasuk satu penggantungan secara automatik selain didenda RM10,000.

Kesalahan dilakukan Fadzrul itu melanggar Artikel 51.1 (a) Kod Tatatertib FAM iaitu salah laku terhadap pegawai pertandingan perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram