KELAB English Premier League (EPL), Manchester United tidak perlu gentar jika ada melanggar apa-apa peraturan dalam tindakan mereka terhadap Jadon Sancho.
United menerusi pengurusnya, Erik ten Hag telah menghukum Sancho daripada memasuki segala fasiliti yang disediakan untuk pemain-pemain senior kelab tersebut.
Sancho telah dihalang daripada memasuki padang latihan, dewan makan serta bilik persalinan untuk pemain senior United. Walaupun dihukum sebegitu, tetapi bintang England tersebut masih perlu berlatih.
Pemain sayap itu kini terpaksa berlatih sendirian dan hanya dibenarkan untuk masuk ke fasiliti yang disediakan untuk pemain-pemain akademi sahaja.
Erik ten Hag menantikan permohonan maaf daripada Jadon Sancho. — Agensi
Apa yang dilakukan oleh United dan Ten Hag dilihat seperti kejam terhadap Sancho. Namun pengurus dari Belanda tersebut telah mengatakan Sancho perlu meminta maaf kepadanya sebelum boleh kembali ke skuad utama.
Namun begitu, tindakan United tersebut dilihat tidaklah melanggar mana-mana peraturan FIFA apabila melibatkan layanan terhadap pemain senior.
Menurut peraturan FIFA, apabila pemain diarahkan untuk berlatih sendiri oleh pihak kelab, FIFA akan menanggap pesalah telah melakukan kesalahan berat.
Ia mungkin terlalu luas tafsiran mengenai perkara itu, dan pada hemat United dan Ten Hag, perbuatan Sancho yang menyerang pengurusnya di media sosial adalah satu kesalahan berat.
Namun begitu, bagi badan pemain bola sepak di England, The Professional Footballers' Association (PFA) pula berpendapat hukuman diberikan Ten Hag kepada Sancho adalah tidak sepatutnya dilakukan.
Buat masa sekarang, Sancho tidaklah dibiarkan bersendirian sepenuhnya di United. Pemain itu telah diberikan seorang jurulatih kecergasan bagi memastikan kualitinya kekal dalam keadaan terbaik.
Masa depan Sancho jelas tergantung di United kerana konfliknya bersama-sama Ten Hag. Pemain itu tiada jalan lain melainkan menolak egonya ke tepi dan memohon ampun terhadap pengurusnya.
Jika tidak, penyokong United boleh menjangkakan pemain itu akan berhijrah sama ada secara pinjaman atau tetapi pada bulan Januari 2024 kelak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram