Cheng Hoe: Selangor FC belum terlalu jauh tersasar


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 30 Sep 2023

Selangor FC akhirnya berjaya menewaskan Terengganu FC selepas tiga kali bertemu secara berturut-turut. — Facebook/Selangor FC

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.

TAN CHENG HOE sudah mampu kembali tersenyum sambil ketua jurulatih Selangor FC itu menggalas tugas ahli matematik untuk mencongak perkiraan supaya pasukannya menamatkan Liga Super musim ini dengan bergelar naib juara – tiada pengecualian.

Sekembali dari kemenangan 4-0 ke atas Terengganu FC di Kuala Terengganu pada Jumaat, Cheng Hoe berkongsi kebarangkalian dengan pemain-pemainnya jumlah mata yang masih diperlukan mereka untuk merealisasikan sasaran itu.

Perkiraan paling mudah ialah menang semua baki tiga perlawanan – menentang Perak FC di Kelana Jaya (25 November), menentang Kedah FC di Alor Setar (2 Disember) dan menentang PDRM FC di Kelana Jaya (17 Disember).

Sesudah menghimpun 52 mata daripada 23 perlawanan setakat ini, sembilan mata maksimum daripada baki tiga perlawanan itu akan meletakkan mereka dalam kedudukan tidak mampu dipintas lagi baik oleh Kedah FC, Sabah FC dan Sri Pahang FC yang masih turut bersaing.

Cuma, kalau boleh, Cheng Hoe turut berkira-kira untuk kedudukan naib juara itu dapat disahkan lebih awal tanpa perlu bergantung kepada perlawanan terakhir dengan PDRM FC, itu pun bergantung kepada keputusan pasukan-pasukan pesaing.

Naib juara liga, yang akan memberikan tempat dalam saingan Piala AFC musim depan, kini tertonjol sebagai satu kemestian di samping menyelamatkan maruah setelah sasaran asal mereka berkesudahan dengan kekecewaan.

385258867_18386198311006712_5851869272318951687_n

Faisal Halim meledak menentang bekas kelabnya iaitu Terengganu FC. — Facebook/Selangor FC

Berakhirnya peluang mendapatkan sekurang-kurangnya satu piala setelah ditunjukkan Terengganu FC pintu keluar daripada aksi suku akhir Piala Malaysia dengan kekalahan agregat 1-3 pada 24 September lalu, perjuangan sebenarnya belum berakhir buat skuad Merah-Kuning itu.

Terdahulu, cabaran The Red Giants dalam Piala FA tersekat dalam separuh akhir apabila tewas 0-4 kepada Johor Darul Takzim (JDT) di Iskandar Puteri, Johor 26 Jun lalu.

Tetapi, tersingkirnya mereka kepada Terengganu FC dalam aksi Piala Malaysia itu barangkali dirasakan sebagai luka lebih dalam. Ini kerana kemenangan di peringkat itu akan seterusnya menemukan Selangor dengan jiran terdekat, Kuala Lumpur City FC, dalam mencari tempat ke perlawanan akhir.

Namun, seperti kata Cheng Hoe, tiada guna sesal dengan apa yang sudah berlalu kerana tiada apa- apa yang akan dapat mengubahnya.

“Piala Malaysia sudah berlalu dan tiada guna untuk kenang di mana silap kami. Walaupun kami memasang hajat untuk ke perlawanan akhir, semua itu sudah pun berlaku dan kami harus terus memandang ke hadapan,” katanya kepada Bola Pegun.

Beruntung juga buat mereka kerana kemenangan ke atas Terengganu FC dalam aksi liga kelmarin mengembalikan mereka ke landasan yang dihajati. Tidak dapat dibayangkan bagaimana satu lagi kekalahan kepada skuad Sang Penyu itu boleh meruntuhkan semangat mereka.

Cheng Hoe, di sebalik meraikan kemenangan itu atas daya usaha pemain-pemainnya untuk bangkit segera, turut menerima hakikat ia dibantu pasukan tuan rumah itu yang merehatkan beberapa pemain utamanya kerana mahu menumpukan kepada aksi Piala AFC seterusnya.

384460659_18386198371006712_8094916403641478166_n

Selangor berjaya kalahkan Terengganu selepas tiga kali bertemu secara berturut-turut. — Facebook/Selangor FC

Pun begitu, jurulatih itu berasa terangsang oleh kelancaran gerakan pemain-pemainnya di samping menyerlahkan ketajaman untuk memanfaatkan peluang di depan gol.

Dua jaringan pemain tengah, Yohandry Orozco, dan selebihnya oleh Faisal Halim dan Izwan Yuslan lebih daripada sekadar melegakan.

“Ya, boleh dikatakan kami sudah kembali ke landasan dengan kemenangan ini. Ia menunjukkan Selangor FC mampu kembali ke corak permainan asalnya selepas aksi hambar dalam dua perlawanan sebelum ini.

“Di pihak saya sendiri, saya sudah melakukan kira-kira terhadap apa yang perlu kami lakukan seterusnya kerana Kedah FC juga berada dalam kedudukan yang baik untuk terus berebut tangga kedua liga.

“Kami tahu saingannya amat sengit. Saya sudah berbincang dengan pemain-pemain dan mengingatkan mereka mengenai perlunya untuk terus berwaspada kerana apa saja boleh berlaku di peringkat ini,” katanya lagi.

Cuma, apa yang merisaukan Cheng Hoe ketika ini ialah tempoh rehat panjang hampir sebulan untuk meluangkan kepada pasukan-pasukan yang terbabit dalam saingan ACL, Piala AFC dan Piala Malaysia, sebelum mereka turun beraksi semula untuk berdepan Perak FC pada 25 November.

Namun, mengambil kira detik terburuk mereka sudah pun berlalu, Selangor FC boleh diyakini akan kembali memuncak apabila itu yang dituntut daripada mereka bila tiba waktunya nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram