Bergson buktikan harga murah bukan alasan tak perform, kini atasi rekod bintang Boca Junior


  • Podium
  • Rabu, 27 Sep 2023

Pencapaian yang dikecapi Bergson menjadikannya sebagai pemain pertama yang menjaringkan lebih 100 gol untuk JDT. — Facebook/JDT

MESIN gol Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva menerima jersi istimewa daripada kelab gergasi itu sempena kejayaannya menjaringkan 100 gol dalam semua pertandingan untuk Harimau Selatan sejak dia berhijrah ke tanah air pada musim 2021.

Jersi istimewa dengan nombor 100 tertera di belakang baju tersebut diserahkan sendiri oleh pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan ketua jurulatih, Esteban Solari di padang latihan mereka pada Selasa.

"Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan ketua jurulatih, Esteban Solari menyerahkan Bergson Da Silva jersi istimewa kelab bola sepak, Johor Darul Takzim sebagai tanda penghargaan atas kejayaannya menjaringkan 100 gol dalam semua pertandingan buat kelab. Bergson adalah pemain JDT pertama yang berjaya mencapai tahap ini," tulis ucapan tahniah itu.

Baru-baru ini tonggak import Brazil itu mencipta sejarah peribadi apabila menjaringkan gol ke-101 dalam 90 penampilannya untuk Harimau Selatan ketika membantu pasukannya mara ke saingan separuh akhir Piala Malaysia.

Juara bertahan Piala Malaysia itu menewaskan Negeri Sembilan 4-1 dalam perlawanan timbal balik suku akhir di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor untuk kemenangan agregat 7-1.

Pencapaian yang dikecapi oleh pemain berusia 32 tahun menjadikannya sebagai pemain pertama yang menjaringkan lebih 100 gol untuk JDT dalam hanya 92 perlawanan dan rekod rekod tersebut mengalahkan legenda import, Luciano Figueroa.

WhatsApp Image 2023-09-27 at 14.42.30

Bergson (tengah) menerima jersi istimewa JDT sebagai tanda penghargaan atas kejayaannya menjaringkan 100 gol dalam semua pertandingan buat kelab. — Facebook/JDT

Sepanjang bersama skuad Harimau Selatan sejak 2014, Figueroa menjaringkan 42 gol dan ia pencapaian terbaik selaku pemain import, selain mencipta 14 hantaran jaringan selepas mengharungi 71 perlawanan.

Bekas bintang Boca Junior itu memenangi dua kejuaraan Liga Super pada musim 2014 dan 2015 selain Piala Sumbangsih 2015, disusuli kejayaan terbesar pada 2015 apabila JDT muncul kelab Asia Tenggara pertama menjulang Piala AFC.

Pada 2018, pemain kebangsaan Argentina itu kembali menyarung jersi skuad Harimau Selatan dan kemudian membantu pasukan itu memenangi Piala Sumbangsih.

"Dipinjamkan dari Fortaleza tahun 2021, Kemudiannya dibeli JDT dengan harga yang murah.Tetapi pemain yang murah harganya ini telah menjaringkan 100 gol bersama JDT.

"This is Bergson. Pemain import terbaik JDT sepanjang masa selepas Luciano Figueroa. Bergson Better than.." memetik pandangan dari Onefootball.my.

Walaupun Bergson hadir sebagai pemain pinjaman dari Fortaleza pada musim 2021 dan kemudiannya dibeli JDT dengan harga yang murah namun berhasil membuktikan harga mahal bukan jadi penanda ukur peledak itu tak mampu mencipta sejarah tersendiri.

Menerusi hantaran dari laman penyokong itu, ramai mula membandingkan pencapaian Bergson dengan beberapa pemain import kelab lain yang dibeli dengan harga mahal namun masih kurang memberi impak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram