PASUKAN gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) melengkapkan kejayaan 'Perfect 10' kejuaraan Liga Super 10 kali berturut-turut selepas membenam PDRM FC dengan keputusan 4-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.
Kejayaan JDT itu turut mencipta sejarah dalam kancah bola sepak negara apabila muncul satu-satunya kelab bola sepak muncul juara 10 musim berturut-turut selepas kali pertama memenangi trofi Liga Super pada musim 2014.
Dalam perlawanan babak pertama, skuad Harimau Selatan membuka tirai jaringan menerusi Bergson da Silva gol pada minit ke-37 apabila dan selang dua minit kemudian, Juan Muniz menambah jaringan kedua.
Bersambung babak kedua, Arif Aiman Hanapi berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-54 dan jaringan Fernando Forestieri melengkapkan kemenangan bergaya 4-0.
Sebahagian aksi menarik antara pemain JDT dan PDRM FC. — Facebook/MFL
Ketua Jurulatih Harimau Selatan, Esteban Solari meluahkan perasaan gembira dan bangga kerana pasukan kendaliannya berjaya mencapai objektif mereka tahun ini,
"Pertama sekali, kami berasa gembira kerana berjaya mencapai objektif utama tahun ini dengan meraih kemenangan dalam Liga Super.
"Kami berjaya memberi saingan dan menewaskan pasukan yang kuat dalam Liga Malaysia dengan persembahan yang baik kami tampilkan setiap perlawanan," katanya.
Pengendali kelahiran Argentina itu turut memberi penghargaan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dan pihak pengurusan JDT yang sudah bekerja keras untuk pasukan Harimau Selatan.
"Terima kasih kepada TMJ kerana menyediakan fasiliti yang baik untuk pasukan JDT, terima kasih juga kepada barisan kejurulatihan dan staf yang merupakan tulang belakang pasukan ini kerana sudah bekerja keras.
"Terima kasih juga kepada para pemain, mereka sangat bekerja keras dan menunjukkan persembahan yang baik sepanjang perlawanan berlangsung," kongsinya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih PDRM FC, Datuk Yunus Alif mengucapkan tahniah atas kejayaan Harimau Selatan yang bergelar juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut dan mengakui jarak gol yang rapat menjadikan pemain mereka hilang konsentrasi dalam pertemuan itu.
"Prestasi di 20 minit pertama agak baik, mereka boleh kekalkan momentum walaupun dibolosi, dua gol yang pantas bagi saya yang menyebabkan hilang konsentrasi para pemain.
"Kita sedia maklum bila kita main di laman JDT, agak susah untuk membuat serangan tapi kita cuba bertahan.
"Begitu juga dengan masa kedua, di awal permainan kita hilang fokus, kita tak bentuk kembali corak permainan yang sedia ada.
"Bagaimanapun, JDT adalah pasukan terbaik dan tahniah kepada JDT," ujarnya.
Kini, skuad kendalian Esteban Solari hanya perlu menghabiskan baki empat perlawanan Liga Super iaitu menentang Kelantan United, Kuching City FC, Sri Pahang FC dan Penang FC.
Selepas ini, JDT akan terbang ke Thailand untuk bertemu BG Pathum United sekali gus memburu tiga mata pertama dalam kejohanan Asia Champions League (ACL) pada 3 Oktober nanti selepas tewas tipis 0-1 di tangan Kawasaki Frontale dalam aksi pembuka tirai Kumpulan I sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram