Jika mahu skuad B23 berkualiti, pemerhati kongsi formula pembangunan akar umbi Sepanyol


  • Podium
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Kerteh FC antara kelab komuniti yang menitikberatkan program akar umbi dalam negara ini. — Facebook/Kerteh FC

PERBEZAAN kualiti di antara skuad senior dan pasukan muda negara boleh dikatakan amat membimbangkan apabila pasukan Bawah-23 Tahun (B-23) negara hampir tidak layak ke Piala Asia B-23 di Qatar tahun depan.

Walaupun berjaya layak ke Piala Asia B-23 namun kualiti corak permainan dan skil individu setiap pemain masih timbul pertikaian dalam kalangan penyokong bola sepak negara.

Adakah disebabkan lambakan pemain import dalam liga? Atau bintang muda ini tiada platform yang begitu kompetitif untuk beraksi dengan lebih baik.

Oscar Riera

Oscar Riera (baju hitam) dilantik sebagai penasihat teknikal kelab Kerteh FC. Facebook/Kerteh FC

Menurut pengurus Kerteh FC, Tuan Mohd Faizal Tuan Kamaruddin, 48, berkata, langkah pertama yang perlu dilakukan oleh badan bertanggungjawab adalah menambah baik sistem pembangunan akar umbi.

"Pada pandangan saya, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah menambah baik sistem pembangunan liga akar umbi dahulu.

"Perkara ini sangat penting dalam usaha melahirkan pemain yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, Penasihat Teknikal Kerteh FC, Oscar Riera turut berkongsi kepadanya bagaimana pemain muda di Sepanyol mampu mencapai 500 perlawanan.

"Saya pernah bertanya kepada Oscar Riera bagaimana dengan sistem liga pembangunan di Sepanyol dan jumlah perlawanan sebelum mereka ke peringkat senior.

"Kebiasaannya di Sepanyol, rata-rata pelatih sebelum ke peringkat senior akan bermain minimum 500 perlawanan sejak berumur lapan hingga ke 18 tahun.

"Cara mereka mencapai 500 perlawanan adalah dengan mewujudkan liga-liga yang kompetitif di peringkat akar umbi seperti Benjamin untuk kategori B-10 tahun, Alevi B-12 tahun, Infantil B-14 tahun, Cadet B-16 tahun dan Juvenil B-18 tahun," jelasnya.

BARCELONA, SPAIN - MARCH 14: Players of FC Barcelona B celebrating the victory after the Segunda Division B match between RCD Espanyol B and FC Barcelona B at Ciudad Deportiva Dani Jarque on March 14, 2021 in Barcelona, Spain. Sporting stadiums around Spain remain under strict restrictions due to the Coronavirus Pandemic as Government social distancing laws prohibit fans inside venues resulting in games being played behind closed doors.  (Photo by Pedro Salado/Quality Sport Images/Getty Images)

Liga Juvenil memberi peluang kepada lebih ramai pelatih merasai pengalaman bermain di liga yang kompetitif. Agensi

Pengurus Kerteh FC itu turut menjelaskan setiap liga itu mempunyai pelbagai peringkat tersendiri bagi memperbanyakkan 'talent pool' di negara itu.

"Tujuan liga-liga itu wujud untuk meramaikan 'pool talent' dan memberi peluang kepada lebih ramai pelatih merasai pengalaman bermain di liga yang kompetitif.

"Liga Juvenil mempunyai lima divisyen, yang mana liga ini sangat kompetitif dan 'powerful' kerana di sinilah kelab-kelab besar 'sign' pemain B-18 untuk pasukan B mereka.

"Itulah sistem liga pembangunan di negara mereka, sebab itulah Sepanyol mampu melahirkan pemain-pemain yang berdaya saing dan menjadi kuasa besar dalam sukan bola sepak.

"Ya mungkin kita tidak mampu sebesar mereka, tetapi kita boleh mulakan langkah pertama dengan mewujudkan liga peringkat umur di peringkat daerah dahulu.

"Kemudian disusuli dengan negeri dan 'regional' barulah diakhiri di peringkat kebangsaan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram