Beraksi di 10 buah negara antara pro-kontra Keisuke Honda sertai Selangor FC


  • Podium
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Honda pernah melawat pusat laithan Selangor pada awal tahun ini.

BEKAS bintang bola sepak Jepun, Keisuke Honda sekali lagi mencuri perhatian penyokong bola sepak tanah air apabila berkongsi mengenai lawatannya ke Kuala Lumpur dan keterujaannya untuk berjumpa rakyat Malaysia.

Perkara itu dikongsikan dalam laman X peribadinya pada Selasa yang mana secara tidak langsung menimbulkan spekulasi mengaitkannya dengan perpindahan ke Selangor FC bagi menggantikan Nidzam Jamil.

Mana tidaknya, penolong jurulatih Selangor itu sebelum ini dikaitkan menjadi sebahagian dari kejurulatihan skuad Bawah-23 tahun (B-23) bagi membantu seorang pengendali import untuk menerajui Harimau Muda.

Melihat reaksi penyokong tanah air dalam ciapan bekas bintang AC Milan itu, rata-ratanya meneka bahawa Selangor sudah 'melamar' bekas pengurus skuad senior Kemboja itu untuk menjadi sebahagian daripada kejurulatihan Gergasi Merah.

Pada Februari lalu, Honda membuat kejutan apabila berada di Pusat Latihan Selangor FC tetapi kehadirannya bukan sebagai pemain baharu mahupun jurulatih, sebaliknya hanya meninjau pusat latihan skuad Gergasi Merah itu.

Dalam lawatan itu, pemain berusia 37 tahun tersebut dibawa melihat kemudahan gimnasium moden, klinik pemulihan pemain, padang latihan tertutup dan kolam pemulihan pemain pasukan Gergasi Merah.

Namun tidak kurang juga ada yang berpendapat bahawa Honda mungkin dipilih sebagai staf kejurulatihan skuad B-23 terutamanya selepas melihat pengalamannya membimbing pasukan muda Kemboja.

Majoriti senaraikan pro-kontra jika Honda menyertai Selangor sebagai jurulatih B-23:

Keisuke Honda

Honda pernah beraksi bersama AC Milan.

Pro:

1. Pengalaman

Tidak boleh dinafikan Honda mempunyai banyak pengalaman sebagai pemain bola sepak apabila beraksi dalam 10 buah negara di benua Asia, Eropah dan Amerika Selatan.

Pernah menempa nama sebagai arkitek terbaik AC Milan, Honda telah memenangi pelbagai kejuaraan seperti trofi Russian Champion, Russian Cup (2 kali), Russian Super Cup, Italian Super Cup dan Piala Asia bersama skuad nasional Jepun.

Honda juga pernah mendapat pemain terbaik Asia pada 2010 yang mana ketika itu baru menyertai kelab gergasi Rusia, CSKA Moscow.

Bersama Jepun, Honda berjaya melakukan 98 penampilan, 37 jaringan serta 23 assist dan beraksi dalam kesemua kejohanan yang dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

2. Kebangkitan pemain muda Kemboja

Honda mungkin tidak mempunyai pengalaman luas sebagai jurulatih selepas memilih untuk berehat daripada bermain bola sepak pada 2022.

Tetapi campur tangan Honda dalam projek jangka masa panjang akar umbi Kemboja dilihat menjadi apabila teknik dan corak permainan pemain-pemain muda negara itu menunjukkan kematangan.

Walaupun Honda gagal merekodkan sebarang kejayaan dengan pasukan muda Kemboja, semasa keberadaannya bersama skuad itu boleh menjadi duri dalam daging buat pihak lawan kerana taktikal yang diaturnya.

Di bawah seliaan Honda, Kemboja mencatatkan prestasi membanggakan di Piala AFF apabila berjaya mencatat dua kemenangan ke atas Filipina dan Brunei dan hanya tewas tipis kepada Thailand dan Indonesia untuk menduduki tangga ketiga Kumpulan A.

Honda Cambodia

Honda pernah mengendalikan skuad kebangsaan Kemboja.

Kontra:

1. Kos tinggi

Salah satu daripada kekurangan mengambil pengendali import seperti Honda adalah kos yang tinggi perlu dikeluarkan Selangor.

Sudah pasti, untuk mendapatkan kepakaran Honda memerlukan Selangor mengeluarkan kos tambahan kerana pastinya dia akan 'demand' apatah lagi bekas pemain kebangsaan Jepun itu akan diberi tugas membentuk skuad muda Gergasi Merah.

Sudah pasti untuk mendapatkan yang terbaik memerlukan perbelanjaan lebih, sekiranya Selangor benar-benar ingin membaiki kualiti skuad muda mereka maka apa salahnya?

Tapi jika Selangor akan terdedah dengan risiko hit-and-miss, mereka boleh rugi seandainya selepas mengeluarkan perbelanjaan yang banyak tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

2. Menafikan bakat tempatan

Satu lagi kekurangan jika Gergasi Merah mengambil pengendali import adalah ia sedikit sebanyak menafikan peluang bakat tempatan untuk menyinar bersama Selangor.

Masa kini, telah muncul kelompok pengendali muda tempatan yang mengujakan terutamanya dari segi pendekatan taktikal yang lebih moden.

Nama-nama seperti Shahrom Kalam, Hairuddin Omar dan Razman Roslan telah mula berkecimpung dalam dunia kejurulatihan dan mahir menguruskan pemain muda.

Jika terus berharapkan orang luar membuat kerja, bila bakat tempatan nak dapat peluang tunjuk taring?

Tindakan mengambil pengendali luar ada baik dan buruknya, Selangor harus bijak menilai supaya tidak tersalah buat pilihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram