Sukan Asia: 'Ibarat nyawa dah sampai tekak', Shah Firdaus akui sukar raih pingat gangsa


  • Podium
  • Khamis, 28 Sep 2023

Shah Firdaus mengakui pingat gangsa yang dimenanginya memerlukan pengorbanan yang sangat besar. — RTM

ATLET berbasikal trek kebangsaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom menang gangsa dalam acara pecut lelaki Sukan Asia di Veledrom Pusat Sukan Chun'an Jieshou, China, pada Khamis.

Pelumba berusia 27 tahun itu berjaya memenangi pingat pertama individu Sukan Asianya, selepas menewaskan pelumba tuan rumah Chenxi Xeu 2-0, pada perlumbaan penentuan pingat gangsa.

Muhammad Shah Firdaus mencatatkan masa 10.0076 saat (s) pada perlumbaan pertama, 0.09s lebih laju dari pelumba China itu, sebelum mengesahkan kemenangannya dengan mengalahkan Chenxi dengan perbezaan 0.047 saat, selepas mencatatkan masa 10.367s pada perlumbaan kedua.

Beliau yang memenangi pingat perak dalam pecut berpasukan pada edisi lepas, gagal layak ke peringkat akhir selepas tewas kepada seorang lagi pelumba China Zhou Yu, pada perlumbaan separuh akhir.

Bercakap kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis, Muhammad Shah Firdaus mengakui pingat gangsa yang dimenanginya memerlukan pengorbanan yang sangat besar.

"It’s no easy bronze, saya rasa untuk dapatkan bronze ini saya rasa bermati-matian.

"Saya lumba lebih lima kali daripada semalam (Rabu) yang saya jumpa 'top qualifier' jadi memang susah untuk dapatkan bronze.

"Untuk dapatkan ini ibarat nyawa dah sampai dekat tekak," katanya.

Terdahulu, Muhammad Shah Firdaus mengejutkan pemenang pingat perak Kejuaraan Asia Shinji Nakano dari Jepun pada suku akhir.

Adiknya Muhammad Ridwan, 22, terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ketujuh acara pecut lelaki, selepas tewas kepada Zhou pada suku akhir.

Muhammad Shah Firdaus, bersama Muhammad Fadhil Mohd Zonis, akan meneruskan aksi mereka dalam acara keirin lelaki pada Jumaat.

Sementara itu, Anis Amira Rosidi dan Nurul Izzah Izzari Mohd Asri, kedua-dua mereka layak ke suku akhir acara pecut wanita yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat.

Acara berbasikal trek memulakan kempen mereka dengan pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan menerusi trio wanita Nurul Aliana Syafika Azizan, Nurul Izzah Izzati dan Anis Amira, dan trio lelaki Umar Hasbullah, Muhammad Ridwan dan Muhammad Fadhil. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram