Sukan Asia: Penantian selama 25 tahun berhasil, Mohd Qabil sumbang emas kedua buat Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 28 Sep 2023

Qabil bersyukur penantian selama 25 tahun membuahkan hasil dan berharap kejayaan pingat emas ini mampu menjadi pembakar semangat atlet sukan ekuestrian yang lain. — Astro Arena

MOHD Qabil Ambak Mahamad Fathil mencipta sejarah membanggakan apabila menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam sukan ekuestrian selepas mengungguli acara dressage individu di Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Khamis.

Pada saingan di Pusat Ekuestrian Tonglu, Mohd Qabil yang kembali bersama dengan kudanya Rosenstolz cemerlang mengumpul keseluruhan 75.780 mata untuk meraih emas pertamanya di pentas Sukan Asia.

Mohd Qabil menewaskan juara bertahan Jacqueline Siu dari Hong Kong yang terpaksa berpuas hati dengan perak selepas meraih 73.450 mata manakala Anush Agarwalla dari India membawa pulang pingat gangsa selepas mengumpul 73.030 mata.

Bercakap kepada wartawan Astro Arena, Mohd Qabil bersyukur penantian selama 25 tahun membuahkan hasil dan berharap kejayaan pingat emas ini mampu menjadi pembakar semangat atlet sukan ekuestrian yang lain untuk mencapai kejayaan di Sukan Asia.

"Saya rasa alhamdulillah, syukur untuk kemenangan pingat ini. Saya sudah menanti agak lama sejak 1998 bertanding dan cuba untuk mendapatkan pingat emas ini.

"Tapi akhirnya selepas 25 tahun, dapat juga pingat. Alhamdulillah jadi saya harap ini akan memberi semangat penunggang-penunggan negara kita untuk mendapatkan kejayaan ini di Sukan Asia.

Sebagai rekod, Mohd Qabil meraih perak pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia selepas mengumpul dua gangsa masing-masing pada edisi 2010 di Guangzhou, China dan edisi 2006 di Doha, Qatar dalam acara sama.

Emas dimenangi Mohd Qabil adalah emas kedua kontinjen negara selepas atlet pelayaran wanita Nur Shazrin Mohamad Latif mencuri tumpuan dalam acara ILCA 6, pada Rabu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram