AFC pernah gantung bintang JDT sebab maki pengadil 3 kali dalam satu game


  • Podium
  • Khamis, 28 Sep 2023

Sebahagian aksi skuad kebangsaan ketika berdepan Hong Kong dalam saingan Piala AFC 2019. — Agensi

PERLAWANAN bola sepak tidak kira peringkat apapun pasti tidak terlepas daripada dicemari insiden provokasi sama ada daripada penyokong atau pemain pasukan itu sendiri.

Enam tahun lalu, bola sepak tanah air pernah dikejutkan dengan kontroversi yang berlaku pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Hong Kong di Melaka.

Hal ini kerana, tindakan bekas pertahanan kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang cuba mencari pasal dengan pengadil perlawanan akhirnya mengundang padah.

Bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu dijatuhi hukuman gantung sebanyak empat perlawanan selain didenda sebanyak RM21,000 oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ketika itu.

ezgif.com-webp-to-jpg (35)

Pemain pertahanan Harimau Selatan, Aidil Zafuan. — Agensi

Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC dilaporkan berkata, bekas tonggak Harimau Malaya itu dikenakan hukuman terbabit mengikut peruntukan dalam Artikel 50 Kod Disiplin dan Etika AFC atas kesalahan mencemarkan permainan.

Dalam kenyataan ketika itu, menyebut defendan diarah untuk meninggalkan padang pada minit kedua masa tambahan di separuh masa kedua, namun tetap berada dalam kawasan permainan selama dua minit 30 saat ketika dia sepatutnya sudah beredar.

Malah, dia turut dilaporkan menggunakan kata-kata yang tidak sepatutnya dan menghina pengadil sebanyak tiga kali sebelum turut bersemuka dengan pengadil selain cuba bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata sama kepada pengadil itu selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Aidil digantung empat perlawanan dan penggantungan itu membabitkan aksi bertemu Hong Kong, Korea Utara dan Lubnan.

Bukan itu sahaja, Aidil turut dikenakan denda dan perlu menyelesaikannya dalam tempoh 30 hari selepas keputusan dikeluarkan selari dengan Kod Artikel 11.3.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka ketika itu, Aidil dilayangkan kad kuning kedua apabila dilihat menolak tangan pengadil perlawanan, Christopher Beath sebagai tanda bantahan selepas menghadiahkan sepakan penalti minit akhir kepada Hong Kong.

Bagaimanapun, penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy menjadi wira Harimau Malaya selepas menyelamatkan sepakan penalti terbabit sekali gus membolehkan Malaysia terikat 1-1 untuk mata pertama Malaysia pada aksi kelayakan ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram