Kim Swee perlu laksana 3 perubahan taktikal berdepan Kelantan FC


  • Podium
  • Khamis, 28 Sep 2023

Sebahagian sesi latihan Sang Badak dalam persediaan menjelang saingan Liga Super. — Facebook/Sabahfc

SABAH FC gagal mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2023 apabila tewas di tangan Perak FC pada aksi timbal balik yang berlangsung di Stadium Ipoh, Perak pada Isnin.

Jaringan tunggal Wan Zack Haikal dalam masa kecederaan babak pertama mencukupi buat anak buah Yusri Che Lah menempah slot ke separuh akhir dengan agregat 3-2.

Walaupun gagal ke separuh akhir Piala Malaysia, Sang Badak masih mempunyai peluang untuk meraih kemenangan dalam saingan Liga Super 2023 apabila dijadual berdepan Kelantan pada 29 September nanti.

Susulan itu, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee perlu melakukan perubahan drastik dari segi taktikal agar pihak lawan sukar untuk meramal corak permainan yang akan dipersembahkan.

Training Sabah 1

Sekitar sesi latihan Sang Badak. — Facebook/Sabahfc

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga perubahan taktikal yang wajar dilaksanakan oleh pengendali The Rhinos bagi mengatasi masalah kecergasan pemain.

1. Passing jarak dekat

Gaya ini sangat popular dalam arena bola sepak terutamanya bahagian Eropah kerana corak permainan yang mudah untuk mengatur strategi serangan dari bahagian bawah hingga ke depan pintu gol lawan.

Walaupun taktik tersebut memerlukan pemain yang berkualiti dan berpengalaman, gaya itu dilihat sesuai untuk Kim Swee menerapkan dalam pasukan Sabah FC yang bakal menentang skuad Kelantan nanti.

Gaya permainan tersebut dijangka mampu mengawal permainan dengan mudah dan tenang.

Dalam pada itu, Kim Swee perlu memberi penekanan kepada taktik tersebut jika ingin meraih tiga mata penuh di laman lawan nanti.

2. Defend overlapping

Taktikal tersebut dilihat mampu mengucar-ngacirkan pertahanan pasukan lawan sama ada dari bahagian kiri mahupun kanan benteng pertahanan.

Hal ini kerana, bukan sahaja jentera penyerang dan pemain tengah yang maju ke hadapan tapi bahagian pertahanan juga mampu membantu untuk memberikan hantaran dari kiri dan kanan padang supaya dapat membuat umpanan kepada penyerang.

Formasi 3-4-3 Sabah FC perlu melakukan gerakan ini kerana Rizal Ghazali dan Danial Ting dijangka sesuai untuk melakukan larian ke atas untuk membantu bahagian serangan.

3. Memperbanyakkan serangan daripada luar kotak penalti

Antara satu lagi perubahan yang perlu dilakukan oleh jentera serangan Sang Badak adalah melakukan percubaan daripada luar kotak penalti.

Dengan kehadiran pemain seperti Saddil Ramdani, Darren Lok dan Ramon Machado, sudah pasti Kim Swee perlu mempratikkan pemain-pemain itu melakukan percubaan dari luar kotak penaliti.

Bukan sahaja bahagian penyerang, tetapi pemain tengah juga perlu kerap melakukan tendangan ke arah gawang ketika permainan berlangsung.

Jika melihat kepada keadaan perlawanan yang berlangsung, sudah pasti penyerang pasukan akan dikawal ketat oleh pertahanan lawan dan pemain tengah dilihat lebih bebas untuk melakukan percubaan dari luar kotak penalti.

Percubaan yang kerap dihasilkan mampu membuahkan hasil kerana pemain Sabah rata-rata memiliki tendangan yang kencang dan wajarlah untuk mereka mengambil peluang yang ada.

Selepas bertemu Kelantan FC, Sabah FC akan berkunjung ke Indonesia untuk berdepan PSM Makassar dalam saingan Piala AFC 2023 pada 5 Oktober depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram