Lupakan Piala Malaysia, fokus buru naib juara Liga Super — Tan Cheng Hoe


  • Podium
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe (kanan) enggan anak-anak buahnya sekali lagi dikecewakan TFC. — Facebook/selangorfc

SELANGOR FC terpaksa melupakan hasrat untuk mara ke separuh akhir selepas tewas di tangan Terengganu FC dengan agregat 1-3 dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023.

Walaupun impian untuk bergelar juara Piala Malaysia terkubur namun Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe masih mahu bersaing dengan sekurang-kurangnya menduduki tempat kedua dalam Liga Super 2023.

Pastinya, Cheng Hoe tidak mahu pasukan Sang Penyu menjadi penghalang untuk kali kedua dalam saingan Liga Super pula.

Kedua-dua pasukan itu bakal bertemu dalam aksi Liga Super pada Jumaat yang tentunya menjadi peluang kepada Gergasi Merah untuk membalas dendam atas kekalahan dalam saingan suku akhir Piala Malaysia pada Ahad lalu.

WhatsApp Image 2023-09-29 at 09.50.54

Sebahagian sesi latihan barisan pemain Gergasi Merah bagi persediaan berdepan Sang Penyu. — Facebook/selangorfc

Meskipun pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) sudah pun dinobatkan sebagai juara Liga Super, Selangor bagaimanapun perlu terus menang untuk mengukuhkan kedudukan kedua.

Walaupun dibezakan dengan lima mata, Selangor perlu berhati-hati dengan pasukan kendalian Nafuzi Zain, Kedah Darul Aman FC yang pastinya mampu menggoyahkan kedudukan Gergasi Merah dalam liga.

“Kami tidak mencapai sasaran kami untuk mara dalam Piala Malaysia tetapi kami masih mahu menduduki tempat kedua dalam Liga Super. Kami perlu fokus pada perlawanan menentang Terengganu sekali lagi.

“Kekalahan kami pada Ahad adalah satu pengajaran bahawa kami tidak boleh mengambil mudah mana-mana pasukan walaupun Terengganu kini berada di tangga keenam dalam liga.

"Pemain berada di bawah banyak tekanan tetapi kami tahu kekuatan dan kelemahan kami," kata Cheng Hoe.

Pertembungan pada Ahad itu turut dicemari oleh kelakuan tidak terkawal pemain pertahanan Selangor, Yazan Al-Arab yang menendang pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir selepas wisel penamat dan dilayangkan kad merah.

Al-Arab telah menyesali tindakannya dan memohon maaf tetapi pemain kelahiran Jordan itu akan terlepas pertembungan penting menentang Terengganu.

Cheng Hoe tidak mahu menumpukan perhatian kepada insiden atau mengenai pengadil semasa perlawanan namun mahu fokus kepada matlamat utamanya adalah untuk mendapatkan keputusan menentang Terengganu.

Sementara itu, pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner juga akan mengambil pendekatan berhati-hati dan dijangka bakal melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utamanya kerana pemainnya sudah bekerja keras dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

Selangor akan berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu bagi melengkapkan perlawanan pusingan kedua Liga Super pada Jumaat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram