[VIDEO] Seperti balas dendam, Victor Osimhen mula 'pulau' rakan sepasukan lain


  • Podium
  • Khamis, 28 Sep 2023

Tangkap layar video Osimhen mula tidak menyapa rakan sepasukan lain. — Twitter/FabrizioRomano

PENYERANG sensasi SSC Napoli, Victor Osimhen berkeras akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pasukannya sendiri selepas kelab itu bertindak menyiarkan video pelik dalam TikTok dipercayai mengejek pemain berusia 24 tahun itu.

Osimhen turut dilihat melakukan protes dalam padang apabila tidak meraikan jaringan golnya ketika menewaskan Udinese pada awal pagi Khamis.

Kesan daripada tindakan Napoli itu menyebabkan hubungan Osimhen dan para pemain lain dilihat tegang apabila dia tidak menyapa rakan sepasukan lain sebaik sahaja tiba di tempat penginapan The Naples.

Menerusi video yang dikongsikan wartawan sukan, Fabrizio Romano dalam Twitter, penyerang kebangsaan Nigeria itu mula tidak bersalaman dengan Diego Demme dan Piotr Zielinsk tetapi sempat menyapa jurulatihnya.

Sebelum ini, Napoli bertindak memuat naik video yang kelihatan Osimhen dilihat merengek mahukan penalti namun gagal menyempurnakannya.

Osimhen menganggap tindakan itu mengaibkan maruahnya dan mahu menyaman kelab.

Perkara itu disahkan sendiri oleh ejen Osimhen, Roberto Calenda yang serius mahu ambil tindakan saman ke atas Napoli.

"Apa yang berlaku hari ini (Selasa) pada profil rasmi Napoli di platform TikTok tidak boleh diterima. Video yang mempersendakan Victor mula-mula didedahkan kepada umum dan kemudian dipadamkan.

"Video itu mencemarkan imej pemain dan menambah tekanan buat pemain tersebut susulan berdepan khabar angin sebelum ini," katanya di hantaran Twitter.

Tambahnya lagi, pihak mereka berhak untuk mengambil tindakan undang-undang dan sebarang inisiatif berguna untuk melindungi Victor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram