Aksi 'kungfu' Yazan cemari Piala Malaysia, Mickey mungkin dalam bahaya


  • Podium
  • Ahad, 24 Sep 2023

Sebahagian aksi menarik antara pemain Sang Penyu berdepan Selangor FC. — Facebook/MFL

AKSI timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad menyaksikan tuan rumah, Selangor FC gagal mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia setelah ditewaskan pasukan Terengganu FC dengan agregat 1-3.

Dalam babak pertama perlawanan, kedua-dua pasukan bermula garang untuk mendapatkan gol pendahuluan di Stadium MBPJ itu.

Asakan demi asakan dihasilkan oleh jentera serangan Gergasi Merah namun gagal membolosi gawang pasukan pelawat.

WhatsApp Image 2023-09-24 at 23.26.07

Ivan Mamut muncul hero Sang Penyu tewaskan Gergasi Merah. — Facebook/MFL

Terengganu memiliki kelebihan apabila pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti kepada pasukan Sang Penyu selepas salah seorang pemain TFC dikasari oleh pemain pertahanan Gergasi Merah, Safuwan Baharudin.

Seperti yang diramal, Ivan Mamut berjaya menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville, sekali gus untuk meletakkan Terengganu FC lebih selesa dengan agregat 3-0.

Ini selepas Terengganu menang pada aksi pertama di laman sendiri pada minggu lalu dengan keputusan 2-0.

Gol sagu hati berjaya diraih oleh Gergasi Merah menerusi jaringan Safuwan Baharudin pada minit ke-69 namun tiada apa yang dapat dilakukan untuk mara ke separuh akhir.

Dalam perlawanan berkenaan, Selangor FC turut beberapa kali menjaringkan gol, namun terpaksa dibatalkan akibat kesalahan ofsaid.

Bagaimanapun, insiden yang tidak diingin berlaku apabila bek kental Gergasi Merah, Yazan Al Arab dilayangkan kad merah apabila menendang pengadil perlawanan selepas tamat perlawanan.

Di sebalik kad merah itu, rata-rata penyokong berasakan penyerang Selangor FC, Faisal Halim kini dalam bahaya berikutan insiden panas tersebut.

"Hukuman berat menanti Yazan nanti," kata M Amirul Azlan,

"Adoi terpaling koyak rabak sangat dah ni, confirm hukuman berat menanti," kata Abdul Hamid Ali.

Bagaimanapun, terdapat juga penyokong yang merisaukan akan situasi Faisal atau dikenali sebagai Mickey jika terpalit dengan insiden tersebut susulan tindakannya membantah keputusan pengadil ekoran layang kad merah tersebut.

"Risau doh dengan Mickey sekarang, dah lah dia dalam pemantauan," kata Amirul Hadi.

"Mickey dalam bahaya sekarang, boleh kena gantung kah tu agaknya?," kata Ridwan Hadi.

Sebelum ini, bekas pemain Terengganu itu dikenakan hukuman penggantungan selama sebulan susulan komennya selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada April lalu.

Terengganu akan bertemu KL City yang menundukkan Sri Pahang FC dalam satu lagi pertemuan pada petang Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram