PENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Suhaimi Husin berhasrat untuk membalas dendam ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC apabila kedua-dua pasukan bakal bertembung di peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2023 pada 20 Oktober nanti.
Kedua-dua pasukan itu bakal bertemu kembali selepas perlawanan separuh akhir Piala FA 2023 menyaksikan Suhaimi berjaya mengekang The City Boys selama 120 minit tetapi usahanya sia-sia apabila mereka tewas 2-4 dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 25 Jun lalu.
Kini, kedua-dua pasukan itu diundi untuk bertemu semula dan Suhaimi berkata, dia sudah bersedia untuk mengubah nasib Sang Penyu kali ini.
Sang Penyu akan beraksi di pusingan pertama Piala Malaysia di tempat sendiri pada 20 Oktober manakala perlawanan kedua akan diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 3 November.
Suhaimi, 29, menunjukkan kemampuannya mengawal gawang dengan baik ketika Terengganu mengecewakan Selangor dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Isnin, sebelum mara dengan agregat 3-1.
“Sejak kalah dalam perlawanan Piala FA, saya berhasrat untuk membalas dendam dan saya yakin akan dapat peluang di separuh akhir Piala Malaysia..
“Kami hampir menewaskan mereka pada Jun lalu, tetapi kali ini kami ingin menewaskan mereka selepas berhempas -pulas mengatasi Selangor pada suku akhir.
“Kami menghadapi masa sukar menentang Selangor yang mengawal serangan tetapi kami berjaya dan kami mahu berdepan dengan semangat yang sama menentang KL City.
“Kami juga mesti berterima kasih kepada penyokong yang merupakan faktor penting untuk pasukan kami. Mereka adalah pemain ke-12 pasukan," katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan muda yang sedang meningkat naik, Azam Azmi Murad menampilkan aksi yang cukup mengagumkan ketika menentang Selangor.
Dia turut berkata, mereka perlu bekerja keras ketika menentang KL City nanti untuk mara ke final.
Azam mempamerkan aksi yang cemerlang ketika menentang The City Boys pada separuh akhir Piala FA dan menantikan nasib yang lebih baik kali ini.
“KL City sangat berpengalaman dan mempunyai pasukan yang kuat dan kami perlu menggandakan kadar kerja kami untuk mengatasi mereka,” kata pemain Harimau Muda berusia 22 tahun itu.
Terengganu juga berharap agar mampu mengulangi keputusan Piala Malaysia mereka musim lepas yang mana mereka menumbangkan KL City pada suku akhir. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram