Bimbang helah Perak FC, benteng Sabah FC wajib jadi taruhan mara ke semi final


  • Podium
  • Isnin, 25 Sep 2023

Sebahagian sesi latihan barisan pemain Sang Badak menjelang perlawanan aksi timbal berdepan Perak FC. — Facebook/Sabahfc

SABAH FC menepati jangkaan ramai apabila mudah menewaskan kelab Singapura, Hougang United dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan Kumpulan H Piala AFC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Walaupun beraksi cemerlang di pentas Asia, anak buah kendalian Datuk Ong Kim Swee perlu waspada dengan kebangkitan Perak FC yang dilihat semakin garang ingin mendapatkan kemenangan dalam saingan Piala Malaysia 2023.

Selepas hanya meraih keputusan seri di laman sendiri pada suku akhir pertama Piala Malaysia, Sang Badak perlu lebih berhati-hati dengan taktikal yang bakal digunakan oleh Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah.

Dengan keputusan tersebut, kedua-dua pasukan dikatakan memiliki peluang seimbang untuk meraih kemenangan dalam pertembungan yang bakal berlangsung di Stadium Ipoh, Perak pada Isnin.

Bukan sahaja mengharapkan kecemerlangan Darren Lok ketika membantu Sabah FC menewaskan Hougang namun khidmat benteng pertahanan juga ditagih oleh penyokong Sang Badak.

WhatsApp Image 2023-09-24 at 23.55.03

Sekitar sesi latihan barisan pemain Sang Badak. — Facebook/Sabahfc

Dalam pada itu, rata-rata penyokong Sang Badak berharap agar pengendali The Rhinos mengekalkan barisan benteng pertahanan yang dilihat mampu mematahkan serangan pihak lawan.

“Kekalkan Rizal Ghazali, Park Tae-su, Gabriel Peres, Dominic Tan dan Daniel Ting di jentera pertahanan, kebangkitan Perak membimbangkan. Apa pun kami sebagai penyokong yakin dengan para pemain Sabah FC yang sudah bersedia. Radu Tatap Radu,” kata Khairuddin Ali Amat.

Coach Sabah perlu kekalkan benteng pertahanan seperti Daniel Ting, Dominic Tan dan Rizal Ghazali sebab mantap cara defend dorang,” kata Osman Osman.

“Perak main di halaman sendiri nanti, lain macam itu semangat dorang under coach Yusri Che Lah, harap-harap Sabah menang,” kata Krule Annaz.

Sabah akan bertandang ke Ipoh, Perak pada Isnin dalam misi penting untuk layak ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia selepas terikat 2-2 di Stadium Likas pada 15 September lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram