JDT dijangka mudah tundukkan PDRM, Kedah mahu hidupkan impian ke Asia


  • Podium
  • Rabu, 27 Sep 2023

Johor Darul Takzim kini semakin hampir untuk mendakap gelaran Liga Super 2023. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PERJALANAN menuju babak akhir Liga Super bermula pada Jumaat dengan kesemua 14 pasukan akan turun beraksi dengan misi berbeza-beza.

Aksi dimulakan dengan perlawanan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan PDRM FC pada Rabu dan disusuli dengan baki enam aksi pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Tiga mata pasti menjadi buruan setiap 14 pasukan dengan setiap kemenangan akan membantu mereka dalam memastikan kedudukan terbaik dapat diraih pada akhir saingan liga.

Berikut merupakan ramalan wartawan Majoriti iaitu Rahmi Jumriati Jono, Zikry Marzuki, Nabil Aiman Nor Azwan dan Frezella Amil untuk aksi Liga Super yang bakal berlangsung.

Rahmi — JDT dijangka menang mudah

JDT dijangka akan menang mudah menentang PDRM FC dengan motivasi mengejar kejuaraan Liga Super untuk kali ke-10 berturut-turut menjadi motivasi Harimau Selatan untuk aksi ke-22 mereka.

Ditambah beraksi di laman sendiri Stadium Sultan Ibrahim (SSI), pastinya anak-anak buah Esteban Solari bersemangat untuk mengesahkan kejuaraan berkenaan selepas tertangguh dalam aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC yang membawa keputusan 3-3.

Bergson da Silva sebagai penyerang prolifik mereka sekali lagi diramal bakal mencetak jaringan pada aksi itu dan sekali gus akan menambah akaun jaringannya yang kini merekodkan sebanyak 101 gol dalam saingan Liga Malaysia.

Zikry — Sabah mahu jadikan Kelantan mangsa kebangkitan mereka

Sabah FC sudah semestinya kecewa setelah disingkirkan Perak daripada Piala Malaysia dengan kekalahan tipis 0-1 di Stadium Ipoh, Perak.

Jadi, mereka pastinya mahu bangkit daripada kekecewaan itu dengan mahu memungut tiga mata maksimum apabila bertandang ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada Jumaat.

382476270_701218715378156_4364597998592371328_n

Sabah mahu bangkit selepas dimalukan Perak. — Facebook/Sabah Football Club

Meskipun perlu bersiap sedia untuk aksi Piala AFC pada 5 Oktober, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sudah tentu akan mengambil kesempatan terhadap kerapuhan benteng pertahanan tuan rumah.

Selain itu, terdapat juga kemungkinan Sabah FC akan dibarisi pemain yang kurang diberikan minit permainan, seperti Jailton Paraiba dan Amri Yahyah supaya tonggak utama mampu diberikan rehat secukupnya.

Jadi, melihat kepada situasi kedua-dua pasukan, skuad Sang Badak mempunyai peluang meraih kemenangan dengan sekurang-kurangnya enam jaringan mampu dihasilkan.

Rahmi — Terengganu bakal jadi igauan Selangor lagi

Terengganu FC sekali lagi akan membuat perhitungan berjumpa menentang Selangor FC selepas baru-baru ini menghentikan impian Gergasi Merah untuk melangkah ke saingan separuh akhir Piala Malaysia.

382459861_300247562716685_7889175514970417611_n

Terengganu akan bertemu Selangor buat kali ketiga berturut-turut. — Facebook/Terengganu FC

Skuad Sang Penyu diramal akan mengecewakan sekali lagi Gergasi Merah untuk saingan Liga Super dengan beraksi di laman sendiri akan menjadi kelebihan mereka, mengikut rekod TFC masih belum merekodkan kekalahan dalam lima aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Walaupun TFC dijangka bakal kehilangan beberapa pemain disebabkan faktor kecederaan namun harus diakui barisan pemain muda dan simpanan mereka juga mempunyai kualiti tersendiri.

Nabil — KL tak mahu tersungkur, Kedah belum mengalah ke Asia

Kuala Lumpur City FC pastinya mahu meneruskan momentum kemenangan selepas menewaskan Sri Pahang FC sekali gus berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2023.

KDA FC yang kini dibelenggu masalah dalaman patinya tidak mahu tewas menentang KL City FC apabila sekurang-kurangnya memerlukan satu mata untuk merapatkan kedudukan naib juara Liga Super bagi menghidupkan peluang ke Asia musim depan.

382510782_18234131140237328_3728965212925507314_n

Kuala Lumpur City boleh halang Kedah Darul Aman ke Asia. — Facebook/Kuala Lumpur City

Frezella — Momentum akan bantu Perak raih kemenangan

Momentum yang ada pada The Bos Gaurus terutamanya selepas menumbangkan Sabah dalam aksi Piala Malaysia dijangka akan memberikan manfaat kepada mereka untuk menewaskan Negeri Sembilan FC.

Dengan persembahan kukuh di bahagian pertahanan, ia dilihat akan menjadi nadi kepada potensi kemenangan Perak yang bakal diraih di Paroi.

Ditambah pula dengan prestasi memukau Wan Zack Haikal dan Luka Milunovic, skuad kendalian K. Devan perlu betul-betul berhati-hati menentang mereka.

383004456_325877796659269_6505764436417412765_n

Perak kini dalam momentum terbaik selepas menyingkirkan Sabah dalam saingan Piala Malaysia. — Facebook/Perak FC

Nabil — Tok Gajah perlu awasi ancaman The Cats

Sejak dibimbing oleh Aidil Sharin, Kuching City FC tampak lebih kukuh dalam semua posisi apabila ia dibuktikan dengan menewaskan KDA FC.

Antara pemain yang akan menjadi duri dalam daging buat Sri Pahang ialah Abu Kamara dan Petrus Shitembi yang menjadi nadi serangan The Cats.

Dengan prestasi semasa Sri Pahang, Fandi Ahmad pasti mahukan tiga mata penuh berjaya direkodkan selepas ingin mengembalikan kepercayaan penyokong-penyokong Tok Gajah yang kecewa selepas pasukan mereka tersingkir dalam saingan Piala Malaysia.

Frezella — Penang akan terus kecewa

Pertemuan antara Kelantan United FC dan Penang FC dijangka akan menjadi perlawanan terdesak bagi kedua-dua pasukan untuk meraih tiga mata.

Kelantan United yang sedang memperoleh momentum dijangka akan muncul sebagai pemenang dalam pertemuan yang akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Bagi Penang pula, prestasi semasa yang begitu merisaukan penyokong dijangka akan menyebabkan pasukan ini terdedah kepada potensi satu lagi kekalahan.

Ismahil Akinade dilihat akan menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan. Ketajaman penyudah di depan pintu gol olehnya akan memberikan kemenangan buat Kelantan United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram