[VIDEO] Bukan sekadar top scorer, Bergson juga idola kanak-kanak


  • Podium
  • Selasa, 26 Sep 2023

Bergson (tengah) menerima jersi istimewa JDT sebagai tanda penghargaan atas kejayaannya menjaringkan 100 gol dalam semua pertandingan buat kelab.

PENYERANG prolifik Johor Darul Takzim (JDT) baru-baru ini mencipta sejarah peribadi apabila menjaringkan gol ke-101 dalam 90 penampilannya untuk Harimau Selatan ketika membantu pasukannya mara ke saingan separuh akhir Piala Malaysia.

Juara bertahan Piala Malaysia itu menewaskan Negeri Sembilan 4-1 dalam perlawanan timbal balik suku akhir di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor untuk kemenangan agregat 7-1.

Pemain import dari Brazil itu menjaringkan gol pada minit keenam untuk gol ke-100 peribadinya dan menjaringkan lagi gol kedua perlawanan pada minit ke-11 dan sekali gus meletakkan JDT di depan Negeri Sembilan.

Selain daripada menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Harimau Selatan, sikap rendah diri dan mesra dengan kanak-kanak pemain berusia 32 tahun itu juga menjadi idola peminat cilik bola sepak di Johor.

Menerusi satu video tular ketika aksi menentang kelab Jepun, Kawasaki Frontale bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Bergson dilihat memeluk maskot kecil yang sebelum sepak mula perlawanan tersebut bermula.

Sebelum sepak mula yang menyaksikan JDT tewas 0-1 di tangan wakil Jepun itu, Bergson memilih bersalaman dengan kanak-kanak berkenaan sebaik melihat maskot yang mengiringi pengadil Qatar, Abdul Rahman Al-Jasim.

Gelagat Bergson itu melayan kanak-kanak itu turut membuatkan Al-Jasim dan pegawai-pegawai perlawanan lain tersenyum, selain ramai penyokong tanah air memuji sikap rendah diri penyerang tersebut.

"Bila aku tengok video ni, mata berkaca pulak. Budak-budak dekat Johor ni banyak menjadikan Bergshow (nama jolokan Bergson) sebagai idola. Anak buah aku siap hafal celebration slide dan siuuu Bergshow itu.

"Bawalah anak-anak buah mereka ke SSI. Sesungguhnya stadium itu sangat mesra famili," kata seorang penyokong yang menggunakan nama akaun X, Isasukeyell.

Dalam perkembangan berbeza, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan ketua jurulatih, Esteban Solari menyerahkan Bergson jersi istimewa JDT sebagai tanda penghargaan atas kejayaannya menjaringkan 100 gol dalam semua pertandingan buat kelab.

Perkara tersebut dikongsikan oleh laman media Facebook rasmi Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram