PENCARIAN bagi mengisi kekosongan jawatan jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia masih lagi belum berakhir.
Terdapat desas-desus yang mengatakan jawatan itu akan diisi oleh Juan Torres Garrido yang sebelum ini bertindak sebagai pembantu E. Elavarasan dalam skuad tersebut.
Jika benar Garrido bakal mengemudi Harimau Muda, terdapat kekosongan pula di bahagian pembantu dan beberapa nama jurulatih tempatan sudah mula disebut-sebut akan mengisi jawatan tersebut.
Pelbagai nama yang keluar seperti pengendali skuad Piala MFL Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, jurulatih Terengganu FC II, Hairuddin Omar serta bos Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain.
Akan tetapi, dalam banyak-banyak pilihan, nama yang semakin hampir untuk menyertai Garrido di Kelana Jaya adalah Nidzam Jamil.
Nidzam yang merupakan bekas pengendali FELDA United kini bersama-sama Tan Cheng Hoe di Selangor FC sebagai pembantunya bersama-sama Ramon Marcote.
Dianggap sebagai generasi baharu barisan kejurulatihan negara, Nidzam pernah menunjukkan potensi besarnya sebagai pengendali apabila pernah menyelamatkan FELDA United daripada tersingkir Liga Super pada 2019.
Nidzam mencipta sensasi pada 2019 apabila menyelamatkan FELDA United daripada jatuh ke Liga Premier. — Facebook/MFL
Kini dikatakan semakin hampir untuk menyertai Harimau Muda, penyokong Selangor dilihat agak tidak senang dengan keputusan yang cuba dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ada penyokong yang mempertikai kenapa FAM hendak 'ganggu' salah seorang pembantu Cheng Hoe? Sedangkan ada jurulatih lain lebih cemerlang kerjanya berbanding Nidzam ketika ini seperti Hairuddin.
"Mana boleh Nidzam, (sepatutnya) Hairuddin atau Nafuzi," kata penyokong bernama Hoang Binh.
"Hairuddin Omar tu punya bagus bimbing Terengganu FC II, kenapa tak nak ambil?," soal Muhammad Hafiz.
Hairuddin cemerlang bersama Terengganu FC II. — Facebook/Terengganu FC II
Walaupun ada yang tidak rela menyaksikan Nidzam menyertai skuad kebangsaan, tetapi ada penyokong yang melihat ia sebagai peluang yang cukup baik untuk karier Nidzam.
"Okay je untuk timba pengalaman. Apa-apa pun atas (keputusan) FAM untuk menilai kemampuan dia. Mungkin ada yang lebih baik," komen Badrol Hisham.
Ketika ini, nama yang paling menjadi sebutan ada Hairuddin kerana kecemerlangannya mengemudi Terengganu FC II. Falsafah bola sepak moden pengendali itu dilihat sebagai potensi besar yang boleh digunakan FAM kepada skuad negara.
Namun seandainya Nidzam tetap menjadi pilihan, penyokong Selangor tidak perlu gusar kerana FAM hanya 'pinjam' sahaja khidmatnya dan bukan dilepaskan sepenuhnya oleh Gergasi Merah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram