AKSI timbal balik suku akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Ahad menyaksikan pasukan pelawat, Kuala Lumpur (KL) City FC mengesahkan slot ke separuh akhir setelah menewaskan Sri Pahang FC dengan agregat 2-1.
Menang 1-0 dalam perlawanan suku akhir pertama pada minggu lalu, skuad The City Boys terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada babak pertama menerusi gol Romel Morales.
Tandukan Romel Morales menghadiahkan jaringan buat skuad KL City FC pada minit ke-29 menewaskan penjaga gol Tok Gajah, Izham Tarmizi.
Sebahagian perlawanan antara pemain Tok Gajah berdepan KL City FC. — Facebook/SriPahangfc
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun gagal mencetak sebarang jaringan sehinggalah pada minit-minit akhir, skuad Tok Gajah berjaya memperolehi sepakan penalti.
Stefano Brundo menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90+5 perlawanan namun gol itu tidak cukup untuk membantu mereka mara ke peringkat seterusnya.
Kedudukan 1-1 itu menyaksikan skuad kendalian Nenad Bacina berada di hadapan dengan agregat 2-1 setelah memenangi perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Cheras pada 17 September lalu.
Rata-rata penyokong Tok Gajah tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh Izham Tarmizi yang dianggap sering melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan tersebut.
"Keeper buat hal banyak kali, hantar balik saja lah kalau kalah macam ni," kata Fai-Zrul Ibrahim.
"Alahai keeper Pahang ni, boleh pula dia tengok saja bola itu, pakai lah tangan bukan pakai mata," kata Hafizan Pahang.
"Gila betul Izham ni, mistake memanjang game ni, mahu dua gol KL City boleh dapat lagi sebab simple mistake dari dia," kata M Amirul Azlan.
Selepas ini, skuad The City Boys perlu menantikan lawan di peringkat separuh akhir sama ada Selangor FC atau Terengganu FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram