[VIDEO] Berang dengan kerenah peninju, pengadil bagi penumbuk 'KO' leraikan gelanggang


  • Podium
  • Rabu, 27 Sep 2023

Tangkap layar video insiden perbalahan di antara pengadil dan peninju.

GARA-GARA tidak berpuas hati dengan pesaingnya, seorang peninju Muay Thai bertindak menendang muka pengadil sehingga menyebabkan dia terpaksa bertindak agresif untuk menghentikan perlawanan itu.

Perlawanan Muay Thai yang dipercayai berlaku di Thailand itu mendapat perhatian orang ramai di media sosial selepas melihat aksi pengadil yang menghalang kedua-dua atlet tersebut daripada terus bergaduh.

Sebelum insiden itu, beberapa individu yang mewakili kedua-dua peninju tersebut bertindak naik ke dalam gelanggang kerana tidak berpuas hati dengan lawan masing-masing.

Disebabkan tidak berpuas hati dihalang oleh pengadil, salah seorang peninju (berseluar biru) bertindak menendang kepala pegawai perlawanan itu sehingga tersembam di atas lantai.

Menerusi video yang dikongsikan @Anthraxxx781 dalam Twitter, pengadil tersebut tampak tidak berpuas hati lalu membuka baju dan menendang peninju (berseluar merah) lalu mencampak individu-individu yang naik ke dalam gelanggang.

Disebabkan tindakan pengadil itu, peninju (berseluar biru) tidak berpuas hati lalu menumbuk pegawai tersebut sebelum dia 'pitam' akibat dihayunkan satu tumbukan deras ke arah mukanya.

Perlawanan tersebut memaksa pegawai keempat dan pihak penganjur terpaksa campur tangan untuk menenangkan pengadil terlibat sekali gus meleraikan aksi panas yang tular di media sosial itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram