Yazan Al-Arab mohon maaf, dedah sebab sepak pengadil


  • Podium
  • Rabu, 27 Sep 2023

Antara aksi perlawanan di Yazan dan skuad nasional Sepanyol pada tahun lepas. — Agensi

AKSI suku akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor FC menentang Terengganu FC pada Ahad berakhir dengan adegan panas membabitkan pemain tuan rumah, Yazan Al-Arab dan pengadil perlawanan.

Insiden yang berlaku selepas tamat perlawanan itu menyaksikan tonggak pertahanan import Selangor FC itu bertindak di luar kawalan apabila menendang pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir.

Perbuatan tersebut dilakukan selepas dia sebelum itu terlebih dahulu dilayangkan kad merah dipercayai akibat tindakannya yang menolak pengadil berkenaan.

Difahamkan, punca kepada insiden berkenaan berlaku disebabkan Yazan dilihat melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap mutu pengadilan ketika perlawanan terbabit.

Sebelum itu, Selangor FC gagal mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2023 apabila hanya sekadar seri 1-1 dalam aksi timbal balik menentang TFC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sekali gus menyaksikan pasukan itu tewas dengan agregat 3-1.

Menurut, pemain berusia 27 itu dalam Instagram, dia telah memohon maaf kepada Selangor FC serta rakan sepasukan di atas kelakuannya itu.

"Saya mohon maaf kepada pasukan, mohon maaf kerana saya telah mengecewakan anda, mohon maaf kepada semua peminat Red Giant.

"Ia berlaku dengan pantas ketika itu dan saya menyesali perbuatan saya.

"Ini satu pengajaran hidup untuk kita harus belajar untuk jadi lebih baik. Saya mohon maaf kepada penyokong dan rakan-rakan sepasukan saya," katanya.

1988177

Yazan mula menyertai Selangor pada musim lalu.

Pemain kebangsaan pertahanan Jordan itu memaklumkan punca tindakannya adalah disebabkan tekanan psikologi dan berita kematian ahli keluarga.

"Ini berlaku disebabkan ketegangan pada ketika itu disebabkan oleh tekanan psikologi semasa perlawanan dan berita kematian sepupu saya beberapa minggu sebelumnya.

"Saya tahu ini bukan alasan untuk saya melakukan apa yang berlaku, itu bukan perwatakan saya atau apa yang saya belajar dari Islam.

"Jadi, saya perlu mohon maaf kepada seluruh peminat bola sepak di Malaysia dan Jordan," jelasnya.

Yazan menjelaskan masa depan bersama Selangor dan akan bekerja keras untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik selepas ini.

"Saya akan sentiasa kekal setia bersama Selangor. Saya sukakan sukan ini. Saya akan sentiasa dan tidak pernah berhenti bekerja keras dan berharap untuk hari-hari yang lebih baik selepas ini," ujarnya.

Setakat ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum memberikan kata putus bentuk tindakan yang akan dihadapi oleh pemain pertahanan Selangor itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram