[VIDEO] Terpaksa dipapah akibat 'cramp' kaki, trio basikal trek wanita Malaysia bukti kemampuan hadiahkan pingat


  • Podium
  • Rabu, 27 Sep 2023

Trio Anis Amira, Izzah Izzati dan Aliana Syafika menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia. — The Star/S.S. Kanesan

ACARA sukan berbasikal trek negara terus membanggakan Malaysia apabila menyumbang pingat di Sukan Asia Hangzhou.

Walaupun tanpa kelibat jaguh basikal trek, Datuk Azizulhasi Awang yang dibelenggu kecederaan, Malaysia tetap menyinar dengan kemunculan trio wanita bagi merangkul pingat.

Trio berbasikal trek wanita yang dianggotai oleh Anis Amira Rosidi, Izzah Izzati Asri dan Aliana Syafika Azizan berjaya mendapatkan pingat gangsa dan ini adalah petanda baik buat Malaysia.

Ini kerana jaguh basikal trek kebiasaannya dalam kalangan atlet lelaki namun trio ini membuktikan yang wanita juga boleh berdiri sama tinggi untuk menjulang nama Malaysia.

Dalam sebuah video di Twitter (X), semangat juang yang ditonjolkan oleh trio ini nyata berbaloi buat negara apabila mereka dikalungkan pingat.

Salah seorang daripada trio tersebut mengalami kekejangan pada bahagian kaki dan terpaksa dipapah selepas tamat perlumbaan.

Kekejangan pada bahagian kaki itu adalah hasil usaha keras trio negara hingga berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara pecut berpasukan sebelum ini.

Rekod sebelum ini adalah 49.204 saat yang dicipta pada Kejohanan Berbasikal Asia, Jun lalu telah disingkatkan menjadi 49.025 saat di Hangzhou.

Sebagai rekod, ini adalah pingat pertama yang berjaya diraih trio ini dan mereka pastinya ingin memburu lebih banyak kejayaan di masa akan datang.

Dengan kemunculan mereka, ia memberikan sinar kepada sukan berbasikal trek negara dengan harapan lebih ramai atlet cemerlang dilahirkan daripada sukan ini.

Pingat yang diperoleh mereka ini adalah sebahagian daripada empat pingat yang telah berjaya diraih kontijen negara setakat ini di Hangzhou.

Malaysia telah berjaya mendapatkan dua pingat perak dan dua pingat gangsa sementara pemburuan pingat emas pertama negara masih lagi diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram