Sumandak Sabah hiasi Stadium Likas, 3 tonggak The Rhinos 'curi hati' penyokong wanita


  • Podium
  • Rabu, 27 Sep 2023

Sumandak Sabah merupakan antara penyokong tegar yang kerap hadir ke stadium bagi menyokong skuad The Rhinos. — Facebook/SabahFC

PASUKAN Sabah FC semakin mendapat tempat di hati penyokong dan pemerhati bola sepak tanah air susulan kebangkitan dipamerkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sejak dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee pada Oktober 2021, corak permainan skuad The Rhinos kian meningkat naik dengan saingan Liga Super musim lalu menyaksikan pasukan itu berjaya menamatkan kempen di tangga ketiga sekali gus melayakkan diri ke kejohanan Piala AFC tahun ini.

Kecemerlangan itu diteruskan pada musim ini apabila carta semasa menyaksikan Sabah kekal berada di kelompok lima pasukan teratas pada kedudukan keempat dengan 42 mata setakat ini.

Ditambah pula dengan barisan pemain yang semakin menunjukkan keserasian bersama, Sabah kini berada di landasan tepat untuk terus memahat sejarah tersendiri dan membanggakan seluruh rakyat di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, kegemilangan pasukan itu turut disumbang kuat oleh pemain ke-12 iaitu penyokong setia yang hadir menyaksikan setiap perlawanan di Stadium Likas, Sabah.

Lebih mengujakan, penonton yang hadir bukan sahaja terdiri daripada kaum lelaki, malah turut menarik perhatian sebilangan penyokong wanita yang semakin meminati sukan nombor satu negara itu.

WhatsApp Image 2023-09-27 at 00.11.04

Penyokong tidak kira kaum lelaki mahupun wanita kian meminati bola sepak di Sabah. — Facebook

Tanpa disedari, penonton wanita ataupun lebih manis dengan gelarannya 'Sumandak Sabah' sentiasa menjadi tulang belakang skuad The Rhinos yang secara tidak langsung menjadi keunikan bagi pasukan Sabah musim ini.

Perkongsian dimuat naik di laman rasmi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), mendedahkan kewujudan kelompok peminat tegar wanita di Sabah yang sememangnya menarik untuk diperkatakan.

Salah seorang daripadanya ialah Aleeya Zahraa atau Elly yang mengikuti perkembangan bola sepak negara sejak beberapa tahun lalu dan sentiasa memenuhi stadium Likas sekiranya ada perlawanan membabitkan pasukan negerinya.

Jelasnya, minatnya sudah dipupuk sejak kecil oleh bapanya yang sering mengajaknya ke stadium dan perkara itu berterusan selepas dia mengidolakan tiga pemain di Sabah iaitu Dominic Tan, Saddil Ramdani dan Irfan Zakaria.

Menganggap ketiga-tiga itu sebagai tonggak utama pasukan, wajah tampan serta tarikan penampilan dimiliki turut menjadi faktor dia ke stadium yang sekali gus disifatkan sebagai 'pencuri hati' bagi segelintir wanita Sabah.

WhatsApp Image 2023-09-27 at 00.11.21

Elly dalam satu sesi temu bual bersama MFL. — MFL

"Yang perempuan kalau di stadium nampak Dominic dirempuh, semuanya bersuara dan berkata 'jangan langgar dia', kalau di stadium memang ada lawaknya sama ada lelaki mahupun wanita.

"Perempuan yang hadir ke stadium bukan sahaja yang muda-muda, malah ada yang bersuami dan bawa anak-anak juga dan semuanya kenal pemain-pemain Sabah.

"Peminat perempuan dia lebih teruja misalnya kalau di pejabat, yang lelaki akan bertanya sesama sendiri bila perlawanan bola sedangkan kami wanita lebih tahu sebenarnya daripada mereka," katanya.

Turut berkongsi sisi baik penyokong Sabah, Elly menjelaskan bahawa rata-rata peminat di sana sentiasa memberikan sokongan padu tanpa mengira menang ataupun kalah.

Meskipun menyedari akan kewujudan pencabar yang lebih kuat, namun bagi penonton Sabah, ia adalah satu situasi normal dan mereka tidak pernah menjadikan ia sebagai satu punca perbalahan ataupun pergaduhan di stadium.

Mengulas lanjut tentang keistimewaan pemain yang diminati, wanita terbabit menyifatkan penyerang kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani sebagai seorang yang sangat kelakar dan mesra bersama peminat.

WhatsApp Image 2023-09-27 at 00.11.36

Elly bergambar bersama pemain idolanya, Saddil Ramdani satu ketika dahulu. — MFL

"Kalau lihat di TikTok, Saddil bersama skuad kebangsaannya di Indonesia orangnya lawak, jadi seronok la tengok.

"Saya pernah bergambar juga dengan Dominic Tan masa kali pertama dia beraksi di Stadium Likas, ketika itu di bilik persalinan," katanya.

Justeru, keharmonian penyokong tanpa mengira jantina di Sabah merupakan antara tarikan serta perkara yang patut dicontohi oleh pasukan-pasukan lain di liga Malaysia (Liga M).

Bahkan, ia juga boleh dijadikan pembakar semangat dan dorongan buat barisan pemain untuk lebih bersemangat serta tampil dengan corak permainan membanggakan di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram