BINTANG bola sepak Jepun, Keisuke Honda mencuri perhatian penyokong bola sepak tanah air apabila berkongsi mengenai lawatannya ke Kuala Lumpur dan keterujaannya untuk berjumpa masyarakat Malaysia.
Perkara tersebut dikongsikan di laman X peribadinya pada Selasa yang mana secara tidak langsung menimbulkan spekulasi lain mengaitkannya dengan perpindahan ke Selangor FC bagi menggantikan Nidzam Jamil.
"Saya telah melawat KL(Malaysia). Saya ingin bertemu orang baru untuk mempelajari perkara baru," tulisnya menerusi ciapan di laman X.
Mana tidaknya, penolong jurulatih Selangor itu sebelum ini dikaitkan akan menjadi sebahagian dari kejurulatihan skuad Bawah-23 tahun (B-23) bagi membantu seorang pengendali import yang akan menerajui Harimau Muda.
Melihat reaksi penyokong tanah air di ciapan bekas bintang AC Milan itu, rata-ratanya meneka bahawa Selangor sudah 'melamar' bekas pengendali skuad senior Kemboja itu untuk menjadi sebahagian daripada kejurulatihan Gergasi Merah.
Terdahulu, Honda membuat kejutan apabila berada di Pusat Latihan Selangor FC, di Shah Alam pada Februari 2023 tetapi kehadirannya bukan sebagai pemain baharu mahupun jurulatih, sebaliknya mahu meninjau pusat latihan skuad Red Giants itu.
Honda berada di Pusat Latihan Selangor FC, di Shah Alam pada Februari 2023. — Facebook/SelangorFC
Dalam lawatan itu, pemain berusia 36 tahun tersebut di bawa melihat kemudahan gimnasium moden, klinik pemulihan pemain, padang latihan tertutup dan kolam pemulihan pemain pasukan Gergasi Merah.
Namun tidak kurang juga ada yang berpendapat bahawa Honda mungkin dipilih sebagai staf kejurulatihan skuad B-23 terutamanya selepas melihat pengalamannya membimbing pasukan muda Kemboja.
Untuk rekod, pada Mei lalu pemain Paling Bernilai pada saingan Piala Asia 2011 itu melepaskan jawatannya sebagai pengurus skuad bola sepak Kemboja pada Khamis, keputusan mengecewakan di temasya Sukan SEA.
Kempen Kemboja di Sukan SEA bermula dengan cemerlang dengan kemenangan 4-0 ke atas Timor-Leste namun kemudiannya mencatat keputusan seri menentang Filipina dan dua kekalahan berikutnya bermakna mereka tidak akan ke separuh akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram