SKUAD sepak takraw negara mara ke separuh acara regu berpasukan lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas mudah membenam Korea Selatan 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua, Hangzhou, China pada Selasa.
Selepas aksi mendebarkan dalam aksi pembukaan menentang Indonesia yang berakir dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan pertama pada Isnin, skuad negara menampilkan aksi lebih kemas untuk menumbangkan Korea Selatan.
Turun selaku regu utama, gandingan Haziq Hairul Nizam (tekong), Farhan Adam (pengumpan) dan Noraizat Nordin (perejam) memulakan rentak cemerlang negara apabila mencatatkan kemenangan mudah 21-15, 21-11 dalam game pertama.
Gandingan Syahir Rosdi (tekong), Ammirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam), yang kali ini diturunkan sebagai regu kedua, mencetus cemas apabila tewas 17-21 dalam set pertama tetapi mereka bangkit memenangi dua set berikutnya 21-18, 21-19, sekali gus mengesahkan kemenangan Malaysia.
Hairul Hazizi Haidzir (tekong), Aidil Aiman Azwawi (pengumpan) dan Afifuddin Razali (perejam) kemudian memastikan kemenangan sempurna buat skuad negara dalam aksi kali ini selepas menundukkan lawan 21-10, 21-12.
Selaku juara kumpulan, Malaysia akan bertemu Laos bagi perlawanan penentuan ke final pada Rabu. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram