'Orang niaga burger, kau niaga burger. Duit orang taknak bayar', CEO Perak FC sindir siapa?


  • Podium
  • Isnin, 25 Sep 2023

Bobie dikatakan membuat hantaran berbaur sindiran itu tanpa menyatakan mana-mana pihak secara tersurat.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin sememangnya cukup dikenali dengan sikap terbuka setiap kali berkata-kata di media sosial.

Selain berkongsi mengenai suasana di bilik persalinan, dia juga sering berkongsi pendapatnya mengenai bola sepak tanah air dalam usahanya untuk menghangatkan lagi sukan itu.

Meskipun ada yang berpendapat caranya itu kurang sesuai, ia tidak menghalang sesetengah pihak daripada terus menanti hantarannya di pelbagai platform media sosial.

Baru-baru ini, Bobie sekali lagi mencuri perhatian ramai menerusi satu hantaran sinis di akaun Facebook Arie Sham yang difahamkan miliknya.

"Orang meniaga burger, kau nak meniaga burger. Orang meniaga sambal, kau nak meniaga sambal. Kemudian, duit orang kau tak mahu bayar.

WhatsApp Image 2023-09-25 at 16.19.23

Tangkap layar daripada hantaran Bobie di Facebook Arie Sham pada Ahad.

"Asyik salurkan modal yang diberikan untuk meniaga burger, kau buat modal meniaga lain dan cakap tiada duit nak bayar. Teruskan buat kerja macam tu sambil popular di posting media sosial," katanya.

Hantarannya yang dibuat pada Ahad itu tidak ditujukan secara tepat ke arah mana-mana pihak, namun diketahui bertujuan untuk menegur seorang usahawan ternama.

Bagaimanapun, dengan dia tidak mahu memberi bayangan jelas mengenai individu terbabit, ia hanya akan membuatkan ramai pihak mula tertanya-tanya akan maksud tersirat di sebalik luahannya itu.

Sejak bergelar CEO Interim Perak FC pada Jun 2022, Bobie yang juga merupakan CEO One XOX Sdn Bhd sudah membawa nafas baharu buat skuad The Bos Gaurus (TBG).

Meskipun hasil daripada pelaburannya masih belum membuahkan hasil yang jelas, struktur kewangan kelab dilihat sudah semakin stabil berbanding tahun-tahun sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram