TEKA-TEKI mengenai individu yang bakal membimbing skuad bola sepak Bawah-23 tahun (B-23) bakal menemui jawapannya apabila ada beberapa laporan media menyatakan bahawa jurulatih pasukan muda itu, Juan Torres Garrido akan mengambil posisi E. Elavarasan.
Khabar berita itu semakin rancak dibincangkan oleh penyokong bola sepak tanah air apabila wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memuat naik ciapan menerusi platform X pada Selasa dan Harian Metro turut melaporkan perkara sama.
Lebih mengujakan apabila Juan Torres juga dikatakan akan dibantu oleh pembantu jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, yang mana kedua-dua mereka akan memikul tanggungjawab untuk membawa skuad muda negara dalam kejohanan Piala Asia B-23 tahun depan.
Harimau Muda baru-baru ini layak ke Piala Asia B-23 di Doha, Qatar pada tahun hadapan selepas muncul antara empat pasukan naib juara kumpulan terbaik dalam aksi kelayakan di Chonburi, Thailand.
Malaysia layak sebagai salah satu daripada empat pasukan di tangga kedua terbaik selepas muncul naib juara Kumpulan H dengan mengutip enam mata hasil daripada dua kemenangan ke atas Bangladesh dan Filipina.
Rentetan daripada berita tersebut, keterujaan penyokong sudah tidak disembunyikan lagi apabila ramai melabel duo tersebut sebagai 'dream pair' untuk membawa Harimau Muda ke satu tahap yang lebih cemerlang.
Sehubungan dengan itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga kelebihan yang bakal diraih oleh skuad Harimau Muda sekiranya dua pengendali itu digandingkan bersama;
1) Mempunyai persefahaman serasi dalam hala tuju bola sepak tempatan
Juan ketika bersama Elavarasan. — Facebook/FAM
Sebagaimana yang diketahui, Juan Torres bukanlah nama asing dalam landskap bola sepak tempatan apabila sebelum ini dia merupakan pembantu jurulatih kepada Elavarasan sejak dilantik pada musim 2022.
Daripada membuang masa untuk membawa masuk pengendali import lain, Juan Torres wajar menjadi calon utama kerana mempunyai nilai tambah iaitu mengetahui hala tuju bola sepak tempatan ekoran pengalamannya selama setahun bersama Harimau Muda.
Jika bercakap mengenai Nidzam pula, pengendali berusia 43 tahun itu sudah sinonim dengan Liga Malaysia dengan pengalamannya yang pernah mengemudi beberapa kelab seperti Felda United dan termasuklah Gergasi Merah.
Nidzam yang pernah membimbing skuad remaja kebangsaan itu juga dipercayai mampu memberi buah fikirannya berdasarkan pengalamannya di peringkat kelab dan menyalurkan kepada Harimau Muda bagi mencapai matlamat sesuai dengan hala tuju Malaysia.
2) Pendekatan gaya permainan yang lebih moden
Nidzam pernah menjadi jurulatih interim Selangor FC. — Facebook/SelangorFC
Jika diimbau semula, Elavarasan memutuskan untuk meninggalkan jawatan tersebut susulan tekanan daripada penyokong bola sepak tanah air yang dilihat kurang berpuas hati dengan taktikal diterapkannya.
Oleh itu, ramai penyokong menjangkakan bahawa kedua-dua jurulatih itu mampu bergandingan untuk mencipta taktikal baharu seiring dengan gaya permainan yang lebih moden berbanding corak permainan sebelum ini.
Jika dilihat pengalamannya iaitu ketua bola sepak remaja profesional B-23 bersama Granada FC dan penolong jurulatih akademi CF Damm, Juan Torres yang kini berusia 43 tahun itu dipercayai mampu membawa kepakaran bola ala Eropah dalam skuad B-23.
Manakala, Nidzam yang juga berusia 43 tahun itu dilihat turut menerapkan gaya permainan moden yang mana mengamalkan formasi 4-3-3 ketika mengendali Felda United (2018-2020) dan memangku ketua jurulatih Selangor pada musim lepas.
3) Kedua-dua ada bakat mencari pemain muda berkualiti
Skuad Harimau Muda bakal membuat penampilan ketiga skuad negara di Piala Asia B-23 selepas melakukannya pada 2018 dan 2022. — Facebook/FAM
Mencari pemain muda berkualiti adalah salah satu aspek penting untuk menyediakan sebuah pasukan yang mampu memberi cabaran sengit dengan kuasa besar di peringkat Asia seperti Korea Selatan dan Jepun.
Disebabkan itu, Juan Torres yang mempunyai pengalaman sebagai pencari bakat bersama FC Barcelona bagi wilayah Catalunya dan pasukan Damm diyakini mempunyai sudut pandang berbeza untuk memantau pemain lain.
Walaupun di atas kertas Nidzam tidak pernah berdaftar sebagai pemantau bakat namun tugasnya sebagai staf kejurulatihan pasti terlibat dalam pemilihan pemain yang dibawa dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ke Selangor FC II.
Dengan kelebihan yang ada pada kedua-dua individu tersebut, pasti kita akan melihat wajah mereka turun ke perlawanan Piala MFL untuk mencari pemain berkualiti dan sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menyarung jersi kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram