PENGGANTI E Elavarasan bakal diketahui dalam masa terdekat ini dengan bayangan bahawa penolong jurulatih pasukan muda itu, Juan Torres Garrido akan mengambil posisi tersebut untuk menggalas tanggungjawab itu.
Pada minggu lalu, badan induk bola sepak negara itu mengumumkan bahawa Elavarasan memutuskan untuk meninggalkan jawatan tersebut susulan tekanan daripada penyokong bola sepak tanah air yang dilihat kurang berpuas hati dengan taktikal diterapkannya.
Selepas hampir seminggu menunggu jawapan, Juan Torres difahamkan menjadi calon utama untuk membimbing skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) dengan dibantu oleh Nidzam Jamil sebagai pembantu jurulatih.
Perkembangan tersebut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi platform X peribadinya pada Selasa dan Harian Metro turut melaporkan perkara sama sambil menyatakan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat pengumuman dalam tempoh terdekat.
"Import dan tempatan. Difahamkan, Juan Torres Garrido jadi calon utama untuk 'naik pangkat' membimbing skuad B23 negara, juga difahamkan pembantunya ialah Nidzam Jamil.
"Dream Pair. Namun, update terbaru jawatan penolong jurulatih masih belum ada keputusan muktamad," tulisnya dalam ciapan tersebut.
Nidzam pernah menggalas tugas pemangku jurulatih Selangor FC. — Facebook/SelangorFC
Juan Torres yang dilantik sebagai penolong jurulatih B-23 pada September lalu dipercayai membawa sesuatu kelainan untuk Harimau Muda dengan pengalaman bersama beberapa kelab di Sepanyol seperti FC Barcelona.
Pengendali yang mempunyai lesen kejurulatihan Lesen A UEFA mula berkhidmat bersama CF Damm yang berpangkalan di Barcelona sebagai jurulatih B-18, penganalisis, pencari bakat dan pengarah teknikal.
Selepas itu, dia kemudiannya berhijrah ke FC Barcelona dengan berperanan sebagai ketua pencari bakat bagi wilayah Catalunya dan jawatan terakhirnya sebelum berpijak di Malaysia adalah ketua bola sepak remaja profesional B-23 bersama Granada FC.
Dalam pada itu, sekiranya Nidzam memilih untuk mengambil jawatan tersebut, Selangor FC nampaknya perlu mencari individu lain bagi menggalas tanggungjawab sebagai pembantu ketua jurulatih. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram