Shazrin Latif jadi atlet pertama hadiahkan pingat emas buat Malaysia


  • Podium
  • Rabu, 27 Sep 2023

Shazrin muncul sebagai pelayar terbaik bagi acara ICLA 6 kategori wanita. — Agensi

KONTINJEN Malaysia akhirnya boleh tersenyum riang apabila kilauan pingat emas telah berada dalam genggaman menerusi acara pelayaran di Sukan Asia Hangzhou.

Pelayar negara, Shazrin Latif muncul sebagai wira Malaysia apabila berjaya membawa pulang emas pertama menerusi acara ILCA 6 bagi kategori wanita.

Kejayaan itu berjaya meletakkan Malaysia semakin hampir dengan kedudukan 10 negara teratas dalam carta kutipan pingat Sukan Asia Hangzhou.

Malaysia kini telah naik ke tangga ke-12 dalam carta kutipan pingat setakat 2 petang dengan jumlah pingat sudah meningkat kepada tujuh (satu emas, dua perak, empat gangsa).

Shazrin yang mengetuai kedudukan peserta dengan 25 mata penalti, nyata bernasib baik kerana berjaya mengekalkan kedudukan itu selepas lima hari perlumbaan.

Perjuangan menentang angin kencang dan ombak besar nyata berbaloi buat Shazrin yang menewaskan wakil Hong Kong iaitu Stephanie Norton di tempat kedua serta atlet Singapura, Victoria Jing Hua Chan.

Sepatutnya, perlumbaan diadakan selama enam hari dipendekkan menjadi lima kerana kekurangan angin di lokasi acara iaitu Tasik Dongqian.

Hasil daripada kemenangan tersebut membolehkan Shazrin membaiki rekodnya dalam acara sama. Sebelum ini, Shazrin memperoleh gangsa dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang pada 2018 dan kini ia bertukar menjadi emas.

Selain itu, Shazrin juga berjaya menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 hasil daripada kejayaannya merangkul pingat emas.

Sukan pelayaran menyumbangkan tiga pingat setakat ini menerusi atlet mereka Asnawi Adam (gangsa - ILCA 4) dan Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen (gangsa - windsurfing RSX). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram