Kecewa tak dapat Kelantan, Vida kembali menaruh hati dengan Perak FC?


  • Podium
  • Selasa, 26 Sep 2023

Sejak pertengahan musim lalu, Vida dikatakan cukup bersemangat untuk menggantikan Norizam sebagai pemilik Kelantan FC.

KEJAYAAN Perak FC untuk menempah slot ke separuh akhir Piala Malaysia disaksikan ribuan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) yang tidak mahu ketinggalan momen bermakna itu.

Manakan tidak, pasukan Utara tanah air tersebut sebelum ini dipandang rendah mengenai kebolehan mereka untuk memastikan kemaraan ke peringkat lebih jauh.

Namun, setelah menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada peringkat pertama, skuad kendalian Yusri Che Lah dilihat lebih bertenaga dalam pertandingan terbabit.

Usaha itu diteruskan ketika mereka dijadualkan berdepan Sabah FC di peringkat suku akhir yang mana juga menjadi satu cabaran cukup besar buat Perak FC.

Tetapi, kejayaan mereka untuk mengikat skuad Sang Badak dalam perlawanan pertama di tempat lawan diikuti dengan kemenangan tipis dalam aksi timbal balik pada Isnin.

Dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Ipoh, Perak, jaringan Wan Zack Haikal Wan Noor pada separuh masa pertama sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan mereka.

WhatsApp Image 2023-09-26 at 12.36.26

Vida (tengah) ketika aksi suku akhir Piala Malaysia antara Perak FC dan Sabah FC.

Meskipun serangan bertali-arus dilancarkan ke arah benteng pertahanan Perak FC, disiplin yang ditunjukkan kesemua pemain membuahkan hasil apabila mereka menamatkan aksi dengan keputusan 1-0.

Kemenangan itu sudah tentu diraikan kira-kira 14,000 penyokong yang hadir demi memberi suntikan semangat sepanjang 90 minit permainan.

Malah, beberapa individu berprofil tinggi, seperti Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim kelab, Bobie Farid Shamsudin turut hadir untuk menonton aksi mendebarkan itu.

Tetapi, tular di media sosial apabila orang ramai mendapati usahawan ternama tanah air, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih mesra disapa Datuk Seri Vida juga dilihat di Stadium Ipoh, Perak.

Berdasarkan beberapa keping foto yang disebarkan, ahli perniagaan kosmetik itu kelihatan berada di sebelah CEO Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir dan seorang pegawai dari Perak FC yang kurang dikenali.

Meskipun tidak dipastikan tujuannya di stadium berkenaan, ia sudah tentu mencetuskan perbualan hangat memandangkan Vida sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk kembali menerajui kelab bola sepak.

VIDA-ONLINE

Nama Vida dikaitkan sebagai pemilik baharu skuad TBG kira-kira dua tahun lalu.

Khabar angin pada pertengahan tahun lalu mengatakan usahawan terbabit berminat untuk bergelar pemilik Kelantan FC yang kini di bawah pemilikan Norizam Tukiman.

Namun, proses tersebut dilihat cukup sukar memandangkan rundingan antara kedua-dua pihak masih belum dikongsikan secara meluas kepada penyokong skuad The Red Warriors (TRW).

Selain itu, Vida juga pernah dikaitkan dengan usaha untuk membeli saham Sabah FC, namun hal itu segera ditepis Marzuki yang mengatakan perjumpaan mereka tidak menyentuh perihal proses pemilikan kelab.

Pada 2021, ahli perniagaan berkenaan pernah dikaitkan dengan skuad TBG yang berada dalam kemelut kewangan dan semakin hampir terjerumus ke kancah Liga Perdana.

Tetapi, perkaitan antara kedua-dua pihak itu tidak membuahkan sebarang hasil sebelum Perak FC kemudiannya jatuh ke divisyen kedua bola sepak negara pada tahun yang sama.

Namun, nasib kelab itu berjaya dipulihkan apabila pada 2022, syarikat telekomunikasi, XOX Bhd melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd mengumumkan proses pengambilalihan kelab sudah selesai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram