[VIDEO] Tolak insiden keganasan, tapi Selangor masih kemuka laporan mutu pengadilan


  • Podium
  • Selasa, 26 Sep 2023

Tangkap layar memaparkan Yazan menendang Hasrol setelah wisel penamat perlawanan ditiupkan.

PERLAWANAN timbal balik suku akhir Piala Malaysia antara Selangor FC dan Terengganu FC (TFC) dicemari dengan insiden kontroversi yang dianggap tidak profesional untuk dilakukan oleh seorang pemain bola sepak profesional.

Antara yang sukar dilupakan adalah kejadian ketika pemain pertahanan import Gergasi Merah, Yazan Al-Arab menendang pengadil perlawanan, Mohd. Hasrol Mohd. Amir susulan ketidakpuashatiannya terhadap mutu pengadilan.

Selain insiden tersebut, terdapat juga beberapa insiden yang mencuri tumpuan seperti kejadian baling botol di stadium, kemarahan Gergasi Merah berlarutan apabila ada dalam kalangan penyokong memecahkan kereta seorang pengadil perlawanan.

KERETA SEL

Keadaan kereta pengadil tersebut selepas dipecahkan susulan kemarahan penyokong terhadap keputusan perlawanan. — Facebook/HotIce

Rentetan daripada itu, Selangor FC akhirnya membuka mulut mengulas itu tersebut dan mengakui bahawa mereka menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk tindakan yang tidak menghormati semangat kesukanan oleh mana-mana pihak.

"Pihak kelab mengambil maklum berkenaan insiden-insiden yang berlaku sekitar perlawanan Suku Akhir Kedua Piala Malaysia 2023 di antara Selangor FC dan Terengganu FC pada 24.09.2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya baru-baru ini.

"Kelab Bola Sepak Selangor menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk tindakan yang tidak menghormati semangat kesukanan oleh mana-mana pihak.

"Pihak Kelab sedang meneliti dan menjalankan siasatan dalaman berkenaan insiden-insiden tersebut dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi sebarang siasatan," memetik kenyataan kelab yang dikeluarkan pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, pihak pengurusan Gergasi Merah juga menzahirkan kekecewaan mereka terhadap mutu pengadilan dan memilih untuk membuat satu laporan mengenainya untuk dikemukakan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini berpunca daripada beberapa jaringan yang dibatalkan akibat keputusan ofsaid dengan ada juga sesetengah rayuan untuk mendapatkan sepakan penalti tidak diendahkan.

Keputusan seri 1-1 yang diperoleh turut menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.

"Selain itu, pihak kelab percaya bahawa sebarang penjelasan perlu melalui saluran yang bersesuaian dan ole itu, sebuah laporan mengenai mutu pengadilan perlawanan tersebut juga akan dikemukakan kepada FAM untuk pertimbangan yang sewajarnya.

"Pihak kelab akan mengumumkan tindakan lanjut berdasarkan hasil siasatan yang telah dijalankan dalam masa terdekat," jelas kenyataan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram