BINTANG kelam Manchester United, Jadon Sancho kini menjadi tumpuan kerana isunya yang tidak selesai bersama-sama pengendali iaitu Erik ten Hag.
Sancho kini ibarat pemain buangan apabila Ten Hag telah menghalang pemain tersebut daripada memasuki sebarang fasiliti untuk pemain skuad utama United. Ia termasuklah padang latihan serta dewan makan bagi skuad utama The Red Devils.
Situasi ini membuatkan Sancho terpaksa menggunakan fasiliti latihan untuk pemain akademi United serta makan bersama-sama mereka buat masa sekarang hinggalah bintang England itu memohon maaf terhadap Ten Hag.
Sancho dilihat berdegil dan tidak mahu memohon maaf terhadap Ten Hag sehingga sekarang. Dan kini, telah tersebar satu lagi cerita mengenai masalah disiplin pemain tersebut sewaktu berada di Jerman.

Sancho kini ibarat pemain buangan di United. — Agensi
Ketika mewakili Borussia Dortmund, Sancho dilaporkan merupakan pemain yang tidak mempunyai disiplin tinggi. Pemain sayap itu dikatakan sering datang lewat ke sesi latihan.
Bukan sekadar datang lewat ke sesi latihan, Sancho juga dikatakan sering menghilangkan diri selepas perlawanan selama satu atau dua hari dengan menaiki jet peribadi.
Permasalahan yang dilakukan Sancho ini sering menjadi topik hangat pihak pengurusan Dortmund dan ia selalu dibincangkan secara dalaman.
Namun bukan itu saja, Sancho turut mempunyai masalah yang sukar untuk dikawal iaitu pengurusan diri yang tidak cekap. Pemain tersebut dilaporkan sering kurang tidur kerana berjaga malam.
Sancho dikatakan sering bermain permainan video baik di konsol atau komputer sehingga lewat malam dan ini memberikan kesan kepada persembahannya sewaktu latihan atau perlawanan.
Pendedahan ini nyata mengejutkan kerana inilah cabaran yang perlu dilalui pemain muda zaman sekarang kerana terlalu banyak gangguan di luar padang.
Sancho tiada pilihan lain selain daripada meningkatkan tahap disiplin untuk tidak mensia-siakan bakat yang ada padanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
