JARINGAN tunggal Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-45 sudah cukup untuk mengesahkan tempat buat Perak FC dalam separuh akhir Piala Malaysia 2023.
Dalam aksi timbal balik di Stadium Ipoh, Perak pada Isnin, skuad The Bos Gaurus (TBG) turun dengan cabaran tersendiri apabila perlu berdepan Sabah FC di laman sendiri.
Manakan tidak, jurang kualiti antara kedua-dua pasukan sememangnya tidak boleh dipandang rendah dengan skuad Sang Badak baru sahaja mengecap kejayaan bermakna di pentas Asia.
Bagaimanapun, semangat juang yang dipamerkan anak-anak buah Yusri Che Lah sejak awal permainan boleh dianggap sebagai kunci buat kemaraan mereka.
Jadi, dengan agregat 3-2 berpihak kepada Perak FC, mereka mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia buat pertama kali sejak 2018.
Mengulas akan perlawanan itu, Yusri berkata, suntikan penyokong yang membanjiri stadium sendiri merupakan satu elemen berharga buat kesemua pemain di atas padang.
Staf kejurulatihan skuad TBG bersama-sama meraikan jaringan Wan Zack Haikal. — Facebook/Perak FC
"Terima kasih yang tidak terhingga daripada saya. Apa pun, sorakan itu memberi kami semangat, terutama kepada pemain untuk memberikan yang terbaik.
"Alhamdulillah, layaknya kita ke separuh akhir sebenarnya memberikan satu nilai tambahan yang baharu buat Perak FC dan nilai-nilai pemain saya," katanya.
Sebelum ini, Yusri dibawa masuk untuk menggantikan Datuk Lim Teong Kim dengan skuad TBG ketika itu berada dalam keadaan tidak menentu dari segi prestasi dalam liga.
Namun, ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam pusingan pembukaan Piala Malaysia, Perak FC mencipta kejutan dengan menyingkirkan pasukan ketiga Liga Super itu.
Kemaraan itu diteruskan dengan kelab Utara tanah air berkenaan dijadualkan bakal berdepan pemenang dalam edisi lalu, Johor Darul Takzim (JDT).
Jaringan Wan Zack (kiri) sudah cukup untuk memastikan kemaraan skuad TBG. — Facebook/Perak FC
Sementara itu, bagi pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, jadual padat yang dihadapi pasukannya memberikan satu cabaran untuk mengatasi lawannya itu.
"Keadaan pemain yang keletihan adalah salah satu sebab kita tidak dapat menggerakkan apa yang kami rancangkan terutama dari segi corak permainan.
"Tahniah kepada Perak kerana mereka menunjukkan keazaman untuk layak ke peringkat separuh akhir," katanya.
Luahan yang diberikan bekas pengendali Harimau Muda itu sememangnya tidak boleh dipertikaikan memandangkan skuad Sang Badak baru sahaja menempuhi saingan Piala AFC Khamis lalu.
Kebolehan mereka akan sekali lagi diuji pada Jumaat akan datang apabila mereka bakal bertandang ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan untuk berdepan skuad The Red Warriors (TRW) dalam aksi Liga Super.
Selepas itu, mereka bakal meneruskan perjuangan di pentas Asia dengan aksi kedua berdepan pasukan tercorot Kumpulan H, PSM Makassar di tempat lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram