PERAK FC sebelum ini dianggap sebagai pasukan bukan pilihan sepanjang kempen Piala Malaysia mereka.
Pasukan yang dipenuhi ramai pemain muda ini tidak diberikan sebarang harapan untuk mara jauh dalam kejohanan ini.
Diundi bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam pusingan 16 pasukan terakhir, Perak mencipta kejutan apabila menyingkirkan mereka termasuklah beraksi cemerlang ketika di Stadium Perak, Ipoh pada aksi pertama.
Kredibiliti mereka terus diuji apabila ditemukan dengan Sabah FC. Pada aksi pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, skuad kendalian Yusri Che Lah bermain dengan cukup baik bagi mengikat agregat 2-2 menuju perlawanan kedua di Ipoh pada Isnin.
Pemain Perak bermati-matian melindungi kubu mereka. — Facebook/Perak FC
Di Ipoh, sekali lagi The Bos Gaurus menonjolkan persembahan terpuji ketika bertemu Sabah dalam misi mengekang kemaraan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sebaik menang tipis 1-0, sekali gus menempah slot selaku semifinalis dengan agregat 3-2.
Walaupun mereka bukanlah pasukan yang mempunyai himpunan pemain terbaik, tetapi semangat juang yang dipamerkan oleh skuad Perak telah berjaya menambat hati penyokong mereka.
Persembahan berani The Bos Gaurus mendapat pujian penyokong kerana bukan saja dapat menghalang kemaraan Sabah, tetapi menghiburkan setiap mata yang memandang.
"Sedap corak permainannya," kata penyokong bernama Tun Iskandar Tun Arif.
"Kalau kalah pun tak apa lawan macam ni, kami bangga dengan Perak One XOX. Dengan pemain muda yang ada, memang amat-amat bangga," ujar Shaz Rin pula.
"Kalah pun tak apa kalau permainan macam ni, nampak semangat pemain," tulis Mohd Nidzam Zaki.
"Terbaik Perak, dapat pergi separuh akhir pun satu pencapaian yang bagus memandangkan Perak pasukan bawahan Liga Super. Teruskan perjuanganmu wahai Perak The Bos Gaurus," komen Is Zainal.
Strategi Yusri dalam menumbangkan Sabah membawa hasil. — Facebook/Perak FC
Selain itu, penyokong juga turut memuji persembahan berkualiti ditonjolkan oleh pemain senior iaitu Wan Zack Haikal.
Wan Zack yang menjaringkan gol dalam kedua-dua aksi suku akhir berjaya memukau penyokong Perak dengan penguasaan pemain tersebut di bahagian sayap.
"Pemain sayap Perak, terbaik setakat ni," kata Zulfatah Yaacob.
"Wan Zack penyudah terbaik," komen Ridzuan Roy pula.
Semangat juang yang ditonjolkan pemain Perak nyata mencuri tumpuan penyokong dan semestinya mereka berbangga dengan skuad Yusri Che Lah.
Hasil daripada persembahan cemerlang itu membolehkan Perak menang 1-0 di Ipoh dan 3-2 menerusi agregat. Mereka akan bertemu Johor Darul Takzim di separuh akhir edisi kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram