KEJAYAAN Perak FC melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia menjadi tumpuan pengikut bola sepak negara.
Perak dengan penuh bergaya menyingkirkan Sabah FC yang merupakan wakil Malaysia di kejohanan Piala AFC menerusi kemenangan agregat 3-2 pada Isnin.
Ini adalah ironi buat Selangor FC yang gagal menyingkirkan satu lagi wakil Malaysia di Asia iaitu Terengganu FC pada Ahad lalu.
Kejayaan mengikat skuad Badak pada perlawanan pertama 2-2 disudahkan menerusi jaringan tunggal Wan Zack Haikal ketika aksi kedua di Ipoh.
Jaringan tunggal bekas pemain FC Ryukyu di laman sendiri sudah cukup untuk membawa Perak ke separuh akhir dan menempah pertemuan bersama-sama Johor Darul Takzim (JDT).
Semangat juang tinggi oleh pemain Perak membolehkan mereka meraih kemenangan ke atas Sabah. — Facebook/Perak FC
Kejayaan menewaskan Sabah cukup bermakna buat Perak kerana mereka telah menewaskan dua jaguh Liga Super dalam Piala Malaysia. Sebelum ini, mereka menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC di pusingan 16 pasukan terakhir.
Maka tidak hairanlah jika pemain Perak begitu gembira meraikan kejayaan menumpaskan Sabah hinggakan gelagat bintang import The Bos Gaurus mencuri perhatian.
Selepas wisel ditiupkan, Sunday Afolabi dilihat berjoget kegembiraan dengan pemain Nigeria itu mengoyangkan pinggulnya di tengah-tengah padang, sekali gus ada yang beranggapan tonggak import itu tak sabar-sabar nak bertemu JDT di peringkat separuh akhir kelak.
Sunday Afolabi berjoget riang selepas wisel penamat ditiupkan. — Facebook/Perak FC
Afolabi sememangnya layak untuk berjoget sedemikian. Hal ini kerana, selepas mengharungi musim sukar dalam saingan Liga Super, Perak tampil mengejutkan banyak pihak apabila berjaya mara sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin, dia tidak dapat menggambarkan kejayaan pasukannya menewaskan dua jaguh Liga Super.
Pada hemat Bobie, pasukannya amat kerdil jika hendak dibandingkan dengan Sabah tetapi masih mampu memberikan saingan dan mengalahkan mereka.
"ALHAMDULILLAH terima kasih semua. Tak tahu nak cakap apa tentang kejayaan pasukan kerdil kita pada Isnin.
"Dengan kehadiran 14800 penyokong ia adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Tahniah semua, kejayaan ini milik semua. Terima kasih," kata Bobie.
Sebelum bertemu JDT untuk aksi separuh akhir, skuad kendalian Yusri Che Lah akan mengarahkan fokus mereka kepada tugasan Liga Super bertemu Negeri Sembilan FC pada 1 Oktober ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram