PERJALANAN Liga Super kembali bersambung dengan kesemua 14 pasukan akan melakukan pecutan terakhir untuk penamat musim 2023.
Dengan Johor Darul Takzim (JDT) kini semakin hampir untuk satu lagi gelaran liga milik mereka, pasukan-pasukan lain akan bertarung untuk mendapatkan sebanyak mungkin pungutan mata.
Itulah misi buat pasukan pertengahan liga iaitu PDRM FC yang akan turun menentang JDT pada Rabu.
Dengan misi sukar berdepan Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Sang Saka Biru perlu mendapatkan mata bagi memastikan tidak dipotong oleh kelab lain dalam carta liga.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan merungkai tiga sebab mengapa PDRM perlu berjuang sepenuh jiwa dan raga demi memperoleh mata di SSI:
1. Misi pecah rekod kelab
Walaupun PDRM sudah tiada apa hendak dikejarkan dari segi kutipan piala, mereka sebenarnya berpeluang untuk mencipta sejarah baharu di peringkat kelab.
Dengan mendapatkan mata di SSI, PDRM boleh menghidupkan peluang untuk cuba memintas Terengganu FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC di yang berada di hadapan mereka dalam kedudukan liga.
Bruno Suzuki adalah taruhan utama PDRM FC. — Facebook/PDRM FC
Mempunyai kelebihan dua perlawanan berbanding Terengganu dan KL City, PDRM perlu menggunakan setiap peluang untuk membolehkan mereka memecahkan atau menyamai rekod kelab.
Rekod terbaik dalam Liga Super buat PDRM adalah menduduki tangga keenam pada 2015. Kini menduduki tangga kelapan, segalanya mungkin untuk Sang Saka Biru.
2. Misi mustahil tumbangkan JDT
Satu lagi misi yang boleh dilakukan oleh PDRM adalah untuk menumbangkan JDT. Hingga kini, masih tiada pasukan yang mampu mengalahkan JDT dalam semua kejohanan domestik.
PDRM hampir melakukannya ketika pertemuan pertama di awal musim namun mereka tumbang juga pada separuh masa kedua apabila jaringan Fernando Forestieri memberikan kemenangan buat Harimau Selatan.
Jika pendekatan taktikal yang diambil oleh Datuk Yunus Alif berjaya mengekang asakan para pemain JDT, tidak terkejut sekiranya mereka bawa membawa pulang satu mata dari SSI.
Namun begitu, pendekatan penuh disiplin dan tersusun perlu diambil bagi membolehkan misi mustahil ini berjaya dilaksanakan.
Datuk Yunus Alif perlu cari pendekatan istimewa untuk kalahkan JDT. — Facebook/PDRM FC
3. PDRM punya blueprint hadapi JDT
Pada awal musim, pengikut Liga Super dikejutkan dengan persembahan baik oleh Sang Saka Biru ketika bertemu Harimau Selatan.
Walaupun tewas, tetapi pendekatan yang dilakukan berjaya meneutralkan JDT terutamanya pada separuh masa pertama sebelum gawang mereka bocor selepas sejam usia perlawanan.
Dari sudut positif, kita boleh saksikan sudah mempunyai blueprint yang baik bagaimana hendak berdepan pasukan ampuh seperti JDT. Mereka berjaya menyusahkan JDT hingga Harimau Selatan mampu jaringkan satu gol sahaja.
Pendekatan ini menjadi rujukan pasukan lain untuk berdepan JDT, walaupun ia tidaklah 100% sempurna tetapi ia boleh jadi batu asas kepada cara bersaing dengan skuad Esteban Solari.
Peluang itu ada
Dalam bola sepak, peluang untuk memenangi perlawanan itu tetap ada walaupun peratusannya adalah kecil. Dalam hal PDRM, mereka masih boleh mencabar JDT dan cuba membawa pulang satu mata dari SSI.
Kesukaran itu memang ada, tetapi jika berjaya diharungi dengan baik, tidak mustahil kita akan saksikan kekalahan pertama JDT kepada seterus domestik mereka musim ini. Semoga berjaya, PDRM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram