FAM takkan berkompromi, Yazan mungkin terpaksa lupakan musim 2023


  • Podium
  • Selasa, 26 Sep 2023

Tangkap layar memaparkan Yazan menendang Hasrol setelah wisel penamat perlawanan ditiupkan.

AKSI timbal balik Piala Malaysia antara Selangor FC dan Terengganu FC di Stadium MBPJ, Selangor Sabtu lalu dicemari beberapa insiden yang tidak profesional.

Salah satu kejadian yang pastinya sukar dilupakan adalah apabila bek tengah tuan rumah, Yazan Al-Arab menendang pengadil perlawanan, Hasrol Amir.

Insiden berkenaan berlaku selepas perlawanan apabila pemain kebangsaan Jordan itu dilayangkan kad merah apabila membantah keputusan-keputusan pengadil sepanjang perlawanan.

Berang akan tindakan berkenaan, Yazan kemudiannya bertindak menendang punggung Hasrol yang sedang dikerumuni dua pemain skuad Gergasi Merah lain, Yohandry Orozco dan Mukhairi Ajmal.

Kekasaran terbabit menyebabkan peminat bola sepak tanah air terus tertanya-tanya akan nasib bek tengah berusia 27 tahun itu bersama pasukan Lembah Klang berkenaan.

selangor-terengganu-piala-malaysia

Perlawanan cukup hangat dipamerkan di Stadium MBPJ, Selangor pada Sabtu. MFL

Sesetengah daripada mereka berasakan terdapat kemungkinan dia akan diberikan penggantungan untuk satu tempoh panjang berdasarkan insiden sama sebelum ini.

Bagi menjawab perkara terbabit, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya berasa kecewa serta kesal dengan kejadian berkenaan.

"Sepatutnya, di peringkat perlawanan profesional, perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Kita akan memberikan (laporan) kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk bertindak mengikut bentuk hukuman yang bakal diputuskan.

"Kita memang tidak akan berkompromi, lebih-lebih lagi apabila perkara ini kita biarkan kepada badan bebas untuk tentukan apa bentuk tindakan," katanya kepada Astro Arena.

Dalam perlawanan itu, suasana tegang dapat dirasakan dengan penyokong Selangor FC berasakan keputusan pengadil adalah berat sebelah dan boleh dipersoalkan.

WhatsApp Image 2023-09-26 at 09.52.26

Yazan terlebih dahulu dikenakan kad merah akibat mempersoalkan keputusan pengadil.

Ini berpunca daripada beberapa jaringan yang dibatalkan akibat keputusan ofsaid dengan ada juga sesetengah rayuan untuk mendapatkan sepakan penalti tidak diendahkan.

Keputusan seri 1-1 yang diperolehi turut menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.

Berdasarkan insiden-insiden sebelum ini, beberapa penggantungan tempoh panjang pernah diberikan kepada pemain berhubung isu menyentuh pengadil perlawanan.

Pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Natxo Insa pernah digantung dua perlawanan serta dikenakan denda RM10,000 dalam satu insiden pada 2021.

Selain itu, pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fadzrul Danel juga pernah berdepan situasi sama apabila dihalang bermain dalam empat perlawanan serta didenda dengan jumlah serupa setelah melakukan kesalahan sama.

Namun, tindakan Yazan yang menendang pengadil dilihat terlalu kasar jika dibandingkan dengan dua kesalahan itu, sekali gus menyaksikan terdapat kemungkinan hukuman lebih berat bakal dikenakan, sekaligus terpaksa melupakan baki saingan bersama Selangor pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram