TMJ persoal tindakan Selangor cuma buat aduan keganasan penyokong ketika di SSI


  • Podium
  • Isnin, 25 Sep 2023

Selangor FC tumbang kepada Terengganu FC dalam aksi suku akhir Piala Malaysia. — Facebook/MFL

KEKALAHAN Selangor FC kepada Terengganu FC dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia pada Ahad telah mencetuskan pelbagai kontroversi terutamanya melibatkan Yazan Al-Arab yang dibuat padang kerana menyerang pengadil.

Tindakan pemain kebangsaan Jordan itu telah membuatkan dia dibuang padang. Namun apa yang lebih mengejutkan adalah kekecohan yang berlaku di luar Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya apabila kenderaan pengadil perlawanan, Hasrol Amir disyaki dipecahkan oleh penyokong Gergasi Merah.

Apa yang berlaku itu telah menarik perhatian pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk turut serta memberikan pendapatnya berhubung kejadian tersebut.

Pemilik JDT itu secara terbuka memuat naik surat Instagram yang kononnya daripada pihak Selangor membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai isu keganasan penyokong yang berlaku ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Ibrahim pada Julai.

WhatsApp Image 2023-09-25 at 12.58.24

Tangkap layar IG Story TMJ mengenai surat dihantar oleh Selangor FC kepada FAM. — Instagram/HRH Crown Prince of Johor

TMJ menyoal tindakan Selangor berbuat demikian memandangkan Gergasi Merah dikatakan terlibat dalam beberapa peristiwa keganasan penyokong semasa perlawanan bertemu Kuala Lumpur City FC dan Perak FC.

Tetapi menurut TMJ, Selangor hanya membuat aduan terhadap apa yang terjadi ketika kedua-dua pasukan itu bertemu.

Dalam masa yang sama, TMJ turut menyoal tindakan pengurusan tertinggi Gergasi Merah yang hanya berdiam diri apabila ketua pegawai eksekutif (CEO) mereka memaki pengadil selepas perlawanan di Kelana Jaya pada 2022.

Sebelum ini, pernah tular tindakan CEO Selangor memaki pengadil secara berdepan selepas aksi melibatkan Selangor.

"Baru-baru ini pemilik Selangor FC tulis surat kepada FAM berkenaan hooliganism dalam bola sepak Malaysia. Tetapi dalam surat tersebut hanya bangkitkan isu peristiwa di Johor, seolah-olah menyuruh FAM ambil tindakan terhadap JDT dan penyokong Johor.

"Saya pun pelik mengapa pemilik Selangor tak tulis mengenai CEO sendiri maki pengadil, pergaduhan di Perak, Terengganu, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Hanya tulis di Johor sahaja seolah-olah JDT bertanggungjawab," soal TMJ.

Buat masa ini, Selangor tidak mengeluarkan sebarang apa-apa kenyataan mengenai perkara yang terjadi di Kelana Jaya baik insiden melibatkan Yazan atau kenderaan pengadil yang dirosakkan.

FAM juga belum memberikan sebarang respons mengenai kejadian yang terjadi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram