Mampu galas tugas targetman, 3 sebab defender Selangor lebih hebat berbanding Boakye


  • Podium
  • Selasa, 26 Sep 2023

Penyokong Selangor berasakan prestasi Richmond Boakye kurang memberangsangkan pada ketika ini. — Facebook/SelangorFC

KEPUTUSAN Selangor FC membawa masuk semula pemain kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin ketika ini sebagai pemain import Gergasi Merah bagi musim 2023 merupakan percaturan terbaik dibuat pihak pengurusan tersebut bagi penyokong.

Hal ini kerana tonggak pertahanan berusia 32 tahun itu berjaya membuktikan dia mampu menggalas tugas sebagai seorang targetman.

Malah, kehebatan pemain itu terbukti pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia meskipun Terengganu FC berjaya menewaskan Selangor FC dengan agregat 3-1.

Selangor terikat 1-1 dengan Terengganu dalam aksi timbal balik dengan skuad Peteh terlebih dulu sudah meraih bekalan selesa 2-0 usai aksi suku akhir pertama.

Gol tunggal Selangor FC dalam aksi timbal balik dicetak oleh Safuwan Baharudin.

2204204

Safuwan meledak gol tunggal Selangor di peringkat suku akhir Piala Malaysia. — Facebook/SelangorFC

Namun, jaringan berkenaan tidak cukup untuk menyelamatkan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu daripada tersingkir di suku akhir.

Meskipun demikian, usaha Safuwan dipuji oleh sebahagian besar fans Selangor FC kerana beranggapan pemain yang beraksi di posisi pertahanan itu dapat menggalas tanggungjawab sebagai targetman dengan baik.

Malah, ada juga fans Gergasi Merah menyifatkan deria jaringan gol pemain kelahiran Singapura itu dirasakan lebih baik daripada penyerang Selangor FC, Richmond Boakye.

Berikut 3 kelebihan Safuwan berbanding Boakye berdasarkan pemerhatian Majoriti:

1. Menambah kekuatan pasukan

Kemampuan bekas pemain pertahanan kanan Melbourne City ini dilihat mampu menambah kekuatan pasukan Selangor FC khususnya ketika memburu gol penting.

Malah, dia juga dilihat sebagai pemain yang lincah sehingga mampu mengucar-ngacir pemain pihak lawan.

Selain itu, Safuwan juga dilihat mampu membentuk gandingan mantap bersama pemain Harimau Malaya, Brendan Gan di posisi tengah, satu lagi posisi yang boleh digalasnya dengan baik selain pertahanan.

2173622

Antara aksi Safuwan bersama Selangor FC pada musim ini. — Facebook/ SelangorFC

2. Keserasian bersama pasukan

Umum mengetahui, pemain berketinggian 1.81 meter itu pernah bermain bersama skuad Gergasi Merah sebelum ini.

Tiga musim bersama Selangor FC sebelum ini, Safuwan berjaya beraksi dalam 37 perlawanan sebagai tonggak pasukan selama dia di kelab itu.

Sehubungan itu, jika dibandingkan dengan Boakye, keserasian sesama pemain dilihat lebih kepada Safuwan.

3. Pengalaman bermain dalam Liga Malaysia

Faktor senioritinya dan pengalaman dalam pasukan tersebut juga boleh dikatakan akan menjadi faktor utama untuk menjadikan komunikasi antara pemain lebih efektif.

Pada masa sama, tidak dapat dinafikan pengalamannya bermain dalam Liga Super sebelum ini cukup membantu terutamanya dalam membaca pergerakan lawan.

Berdasarkan ketiga-tiga faktor itu, tidak hairanlah Safuwan masih mendapat kepercayaan penyokong dan layak kekal bersama Selangor musim depan berbanding Boakye. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram