Tersungkur Piala Malaysia, Selangor wajib ‘ikat mati’ slot naib juara Liga Super


  • Podium
  • Isnin, 25 Sep 2023

Selangor FC mengharungi satu lagi musim tanpa piala selepas tumpas dalam saingan Piala Malaysia. — Facebook/Selangor FC

PERJALANAN Selangor FC kini sudah tamat dalam saingan Piala Malaysia. Mereka kecundang kepada Terengganu FC di peringkat suku akhir pada Ahad untuk mengesahkan satu lagi musim tanpa piala.

Ia adalah realiti yang cukup pahit untuk ditelan penyokong Gergasi Merah. Memori mendakap kejuaraan yang kali terakhir diraih pada 2015 kini menjadi kenangan yang menyakitkan. Bilakah lagi piala akan bertandang?

Kini selepas terlepas gelaran Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, sisa perjuangan masih lagi ada buat Selangor. Peluang untuk ke Asia musim depan masih terbuka dengan Gergasi Merah semakin hampir untuk mendakapnya.

Namun selepas melihat kegagalan memberikan saingan kepada Terengganu dalam aksi suku akhir membuatkan penyokong Selangor berasa gusar, mampukah Tan Cheng Hoe dan para pemainnya mendapatkannya?

Tumbangnya Selangor di Piala Malaysia membuatkan Gergasi Merah tiada pilihan melainkan memastikan kedudukan kedua Liga Super kekal dalam genggaman.

Jika tidak berhasil diperoleh, maka bersedialah menerima kecaman hebat penyokong yang sudah sedia kecewa dengan pasukan.

Seorang penyokong Selangor, Musa Ismail mengatakan jika Gergasi Merah tidak mampu mendapatkan tempat kedua liga maka sudah tiada apa hendak dibanggakan lagi.

"Sekarang Selangor FC tinggal fokus untuk kekal nombor dua dalam Liga Super. Kalau ini pun payah dan parah, apa lagi yang tinggal untuk dibanggakan? Tinggalkan sejarah kerana sejarah tinggalan buat kenangan.

"Masih adakah harapan buat peminat? Kerana kami menanti dengan penuh minat, setiap tahun terus menanti, bilakah hari(nya) belum pasti," kata Musa.

381461527_799404268857970_1927657125593374730_n

Ayron del Valle gagal berikan impak buat pasukan Selangor. — Facebook/Selangor FC

Apa yang disoalkan Musa seolah-olah mewakili majoriti penyokong Selangor yang kecewa dengan persembahan pasukan.

Selangor sudah tiada jalan lain lagi melainkan wajib mendapatkan tempat kedua kerana jika itu pun gagal diraih, terkuburlah harapan penyokong mereka untuk melihat pasukan terbang lebih tinggi.

"Apakah Selangor FC dapat merealisasikan? Harapan terakhir peminat nantikan. Kekal nombor dua tiada alasan lagi, (agar) harapan terakhir tidak terkubur lagi," ujar Musa.

Selangor mempunyai empat lagi aksi Liga Super untuk dihabiskan dengan mereka sedang mendahului lima mata ke atas Kedah Darul Aman FC yang sedang mengekori rapat.

Aksi seterusnya untuk Gergasi Merah adalah bertemu Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak dalam saingan Liga Super pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram