Kes 2 pemain bawa perempuan, ex-coach Sang Penyu melawan balik lepas dipecat


  • Podium
  • Isnin, 25 Sep 2023

Terengganu sebelum ini menggantung jurulatih lantang itu selama enam bulan kerana bercakap kepada media tanpa persetujuan pihak pengurusan. — Agensi

PEMECATAN ketua jurulatih selepas tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh pihak pengurusan boleh dikatakan sinonim dengan budaya saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak bermusim-musim.

Musim ini sahaja, terdapat lima jurulatih dari Kelantan FC, Perak FC dan PDRM FC yang ditunjukkan jalan keluar oleh pihak pengurusan walaupun hanya sempat bersama dengan pasukan dalam beberapa perlawanan.

Jika ditelusuri semula, terdapat satu insiden dalam saingan liga domestik, yang mana seorang pengendali memilih untuk memperjuangkan haknya sebagai jurulatih selepas pihak pengurusan bertindak untuk memecatnya.

Jurulatih dimaksudkan ialah pengendali Terengganu pada musim 2012 iaitu Peter Butler yang mana dia mengambil tindakan untuk membatalkan pemecatan tersebut dengan persatuan bola sepak negeri.

Menurut laporan media pada 24 September 2012, pengendali dari England itu menyerahkan surat rayuan kepada Terengganu FA berhubung penggantungan dan pemecatannya, sekali gus memberitahu bahawa dia tidak menerima keputusan tersebut.

Memetik laporan The Star pada 25 September 2012, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memutuskan untuk menggantung Butler selama enam bulan dan mengenakan denda RM4,000 terhadap jurulatih tersebut.

Pengerusi jawatankuasa itu, Ahmad Shukri Zakaria berkata, Butler dikenakan hukuman itu bagi kesalahan mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung dakwaan salah laku dua pemain Terengganu membawa wanita masuk ke bilik mereka tanpa terlebih dahulu melaporkannya kepada pihak pengurusan.

MUSLIM

Muslim pernah menyarung jersi Terengganu pada musim 2012-2014.

Beliau berkata, pemain terbabit, Mohd Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi, mengaku keluar serta balik ke hotel lewat malam hampir pukul 3 pagi sebelum perlawanan Terengganu menentang Kedah di Alor Setar pada 28 Ogos lepas.

Disebabkan hukuman berkenaan, Bulter mengambil keputusan untuk menyerahkan surat itu sendiri kepada setiausaha Terengganu FA ketika itu, Abdullah Salleh.

“Tuduhan yang dilemparkan terhadap saya adalah biadab, keterlaluan dan tidak boleh diterima,” katanya.

Butler menjelaskan terdapat dua cara untuk menangani situasi tersebut iaitu dengan cara yang mesra, profesional dan bermaruah atau sebaliknya.

“Kalau sebaliknya... saya rasa ia tidak bagus untuk bola sepak di Terengganu atau Malaysia. Hakikat bahawa saya boleh digantung kerana mendisiplinkan dua pemain yang melanggar peraturan bukan sahaja bahaya untuk bola sepak tetapi juga dari segi sosial.

“Guru sukan malah jurulatih junior akan berfikir dua kali sebelum menegur pemain kerana tindakan FA. Saya menjalankan tugas secara profesional dan saya cuba sedaya upaya untuk menerapkan disiplin.

"Saya enggan diejek dan dihina kerana melakukan perkara yang betul, tidak sama sekali," katanya.

Selepas menerima surat tersebut, Jawatankuasa Rayuan PBSNT mengambil keputusan mengekalkan hukuman penggantungan dan denda terhadap pengendali skuad Penyu, Butler setelah meneliti rayuan bertulis yang dikemukakan jurulatih itu.

Pengerusinya ketika itu, Mat Yusoff Mohamed berkata, jawatankuasa rayuan menolak rayuan itu setelah mendapati ia bukan sahaja tidak berasas, malah tanpa merit.

“Keputusan itu diambil setelah pihaknya meneliti rayuan yang dikemukakan oleh bekas jurulatih Kelantan itu dan mengambil kira nota daripada keputusan jawatankuasa disiplin yang bermesyuarat pada 18 September 2012.

“Kami mendapati keputusan awal yang dilakukan jawatankuasa disiplin adalah betul dan mengambil keputusan mengekalkan hukuman tersebut,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram