Dua nama dipetik punca Tok Gajah tersingkir, Rafael pula terima nasib berbeza


  • Podium
  • Isnin, 25 Sep 2023

Persembahan cukup bertenaga dipamerkan Rafael (kanan) dalam aksi timbal balik Piala Malaysia di laman sendiri. — Facebook/Sri Pahang FC

HASRAT Sri Pahang FC untuk menempah slot dalam separuh akhir Piala Malaysia musim ini tidak kesampaian apabila mereka disingkirkan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan agregat 2-1.

Setelah tewas dengan satu jaringan di Stadium Cheras, KL pada 17 September lalu, skuad bimbingan Fandi Ahmad berharap kedudukan itu mampu diubah apabila beraksi di gelanggang sendiri.

Namun, cita-cita itu tidak tercapai apabila pada minit ke-29, penyerang skuad Warga Kota, Romel Morales lebih awal meletakkan pihak pelawat di hadapan.

Meskipun beberapa perubahan dibuat pada babak kedua, skuad Tok Gajah terus buntu untuk memecahkan benteng pertahanan KL City FC dalam usaha mereka merapatkan jurang.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila pada masa kecederaan, Stefano Brundo mudah menyempurnakan penalti bagi meraih gol buat Sri Pahang FC.

Tetapi, jaringan berkenaan jelas sudah terlalu lewat buat pasukan Pantai Timur itu yang terus kempunan untuk menempah slot dalam separuh akhir Piala Malaysia.

380246311_18388128937031124_6780734833944954866_n

Kemasukan Shamie masih belum memberikan impak buat skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Penyingkirkan berkenaan sudah tentu menjadi bahan bualan penyokong skuad Tok Gajah yang kurang berpuas hati dengan persembahan anak-anak buah Fandi Ahmad.

Bagi mereka, kegagalan untuk memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri membuktikan pasukan terbabit belum cukup bersedia dalam menjadi sebuah pencabar takhta Liga Super.

Namun, ada juga daripada mereka yang berpendapat kemasukan beberapa pemain menjadi punca ke atas penyingkiran kelab daripada pertandingan terbabit.

Keluhan terbabit diluahkan penyokong Sri Pahang FC menerusi akaun Facebook Hogoh Pahang Hogoh yang melihat percaturan Fandi tidak membuahkan hasil.

"Kemasukan Lucas (Silva) dan no 11 (Shamie Iszuan) memang satu keadaan yang telah merosakkan rentak perlawanan. Terus hilang arah permainan dengan Shamie tiada hala tuju.

"Standard skil Lucas, hanya mendada bola dan hantar ke belakang. Mendada, hantar ke belakang. Rafael (Silva) yang disangka teruk, bermain dengan baik," katanya.

382493746_18388773769031124_421819719881652320_n

Lucas Silva dibawa masuk untuk mendapatkan lebih banyak jaringan buat skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Dalam perlawanan berkenaan, Rafael berada dalam kesebelasan utama Sri Pahang FC untuk kali kedua sejak menyertai kelab itu pada jendela perpindahan kedua Liga Super.

Dia yang dibelenggu is kecederaan terpaksa melupakan hasrat untuk turun dengan lebih kerap sehingga menyebabkan penyokong Tok Gajah mempersoalkan kehadirannya.

Namun, situasi berbeza berlaku dalam aksi di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Ahad dengan pemain kelahiran Brazil itu cukup bersemangat sepanjang berada di atas padang.

"Rafael bermain dengan agresif dalam membuat gerakan dan membaca hantaran pemain tengah, terutamanya daripada Azam (Azih) dan (Kuvondik) Ruziev. Cuma, nama dia bukan selaku penjaring," kata penyokong itu lagi.

Penyingkiran Sri Pahang FC daripada saingan Piala Malaysia menyaksikan mereka kini hanya perlu memberi perhatian penuh dalam Liga Super.

Setelah beraksi dalam 20 perlawanan, skuad Tok Gajah kini berada di tangga kelima dengan mereka berpeluang memintas Sabah FC dengan hanya dua mata membezakan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram